
UTeM Prihatin Hulur Bantuan Awal Mulakan Pengajian Kepada Pelajar Susah
Kesulitan dan keperitan kehidupan yang dialami keluarga dan menyukarkan pelajar untuk memulakan pengajian mendapat perhatian khusus daripada pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, berteraskan kepada sikap prihatin dan cakna berterusaan maka UTeM telah menghulurkan bantuan awal memulakan pengajian kepada pelajar baharu Universiti ini Nabilah Zainuddin.
Jelasnya, pihak kami dimaklumkan bahawa pelajar ini telah mendapat tawaran pengajian Diploma Kejuruteraan Pembuatan di UTeM namun tidak mampu untuk memulakan pengajian ekoran desakan kesusahan kehidupan dan kesulitan kewangan dialami keluarganya.
“Sehubungan itu pihak UTeM berbesar hati menghulurkan sumbangan awal berupa pakej bantuan awal memulakan pengaiian kepada beliau berupa pembiayaan penuh yuran pengajian semester satu sebanyak RM 914.00.
“Pada masa yang sama UTeM turut akan membayar elaun sara hidup sebanyak RM 500.00 sebulan bagi memudahkan urusan kehidupan beliau memulakan kehidupan sebagai pelajar di sini,” ujar Massila sewaktu menziarahi keluarga beliau di Alai, Melaka, baru-baru ini.
Massila berkata, pembiayaan ini adalah ditawarkan oleh UTeM menerusi tajaan Yayasan Tun Canselor UTeM di bawah pakej Anak Emas UTeM yang memilih pelajar dalam kategori pelajar susah namun mempunyai latar pendidikan yang cemerlang.
Keperitan hidup yang dialami keluarga Nabilah ekoran bapanya Zainuddin Hassan (54 tahun) yang sebelum ini bekerja sebagai Pengawal Keselamatan kini tidak dapat lagi bekerja ekoran hadapi penyakit jantung serta telah jalani pembedahan dan kini sedang dalam rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).
Sementara itu ibunya Siti noormasurah Ahmad (49 tahun) yang kini hanya bekerja sebagai pembantu kantin bagi membantu membiayai keluarganya juga turut berdepan dengan masalah kesihatan.
Zaindudin sewaktu ditemubual melahirkan rasa syukur dan penghargaan tinggi kepada pihak UTeM kerana benar-benar mengambil berat dan membuat tindakan segera bagi menyampaikan cita-cita anak mereka untuk melanjutkan pengajian.
Katanya, kesungguhan UTeM dalam memudahkan urusan ini amat beliau sanjungi tambahan pula kepimpinan utama UTeM sendiri meluangkan masa datang ke kediaman mereka di sini melawat beliau dan isteri serta menghulurkan bantuan kepadanya dan bantuan awal pengajian kepada anaknya.
Sementara itu, Nabilah turut berterima kasih kepada pihak UTeM yang telah memberikan sinar dan harapan baharu kepada beliau agar beliau dapat merealisasikan impiannya menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan pembuatan yang menjadi cita-citanya.
“Memang menjadi cita-cita saya untuk menyambung pengajian di UTeM dan dengan pendidikan tinggi saya berharap dapat membangunkan diri saya menjadi lebih baik dan dapat membantu ekonomi keluarga saya nanti.
“Keadaan ibu dan ayah serta keadaan kesusahan yang dialami membakar semangat saya untuk menjadi pelajar yang berjaya nanti,” ujarnya sewaktu ditemui di kediamannya sewaktu kunjungan pihak UTeM.
Dalam kunjungan tersebut pihak UTeM turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, Pengarah Pejabat komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori (PKKPC) Datin Wira Ts Nurazlina Md Sanusi serta Dekan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP, Prof Ir Dr Hambali Arep@Ariff.
Sehubungan itu Nabilah telah mendaftar secara rasmi dan memulakan pengajian semester satu di UTeM pada hari ini (Isnin) di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.