UTeM Anjur Program Jana Enam Impak Berangkai Peringkat Global Malaysia Uzbekistan
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan program Malaysia Uzbekistan Edu-Cultural Day yang berjaya menjana enam impak berangkai di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM sentiasa mengorak langkah ke hadapan berhubung pemerkasaan hubungan di peringkat global.
Jelasnya, penganjuran program Malaysia Uzbekistan Edu-Cultural Day ini memberikan impak berangkai bagi 6 elemen peringkat global yang bukan hanya menyentuh aspek pendidikan dan budaya semata-mata.
Ujarnya, elemen pertama yang dijayakan menerusi program ini adalah penyerlahan saintis wanita menerusi Forum Saintis Wanita yang melibatkan tenaga akademik pakar dari UTeM serta beberapa universiti tempatan dan 14 buah universiti dari Uzbekistan.
“Universiti Uzbekistan antaranya ialah Bukhara State Technical University, Tashkent State University of Oriental Studies, Tashkent University of Information and Technology, Samarqand State University of Architecture and Construction, Urgench State University dan Fergana State University.
“Elemen kedua impak program ini adalah menjadi medan suntikan ekonomi global yang menemukan antara kumpulan ahli perniagaan negeri Melaka dan Uzbekistan bagi mencorak pelaburan ekonomi mendatang.
“Elemen ketiga bilamana program yang berlangsung selama 2 hari ini turut membuka ruang terbuka bagi komunikasi langsung antara pelajar Malaysia dan Uzbekistan bersama dengan Naib Canselor, “ katanya.
Massila berkata, dalam konteks akademia, penyelidikan dan inovasi juga tentunya turut menjadi salah satu perkongsian bersama di samping perkongsian semarak
keunikan budaya dan kepelbagaian makanan antara 2 negara ini telah menjadi pelengkap elemen keempat hingga keenam.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Perasmian Malaysia Uzbekistan Edu-Cultural Day yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka yang juga Canselor UTeM, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, bertempat di Dewan Kuliah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Industri dan Pembuatan, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, semalam.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr. Karomidin Gadoev yang mana beliau dalam ucapannya menyatakan program ini menjadi simbol keutuhan perkongsian hebat Uzbekistan dan Malaysia di mana dua negara yang terus berkongsi komitmen dalam aspek pendidikan, inovasi dan pembangunan inklusif.
Dalam pada itu menyentuh tentang pemerkasaan saintis wanita, beliau turut menjelaskan kerjasama antara saintis Uzbekistan dan Malaysia terutamanya saintis wanita mewujudkan peluang keemasan dalam perkongsian kepakaran dan pengetahuan, berkongsi amalan terbaik dan memberi inspirasi kepada inovasi yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Dalam majlis yang sama turut diadakan pemeteraian 2 Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTeM dan Bukhara State Technical University manakala 1 lagi melibatkan antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan Fergana State University manakala 1 Surat Niat antara (UTeM) bersama Urgench State University names after Abu Rayhan Biruni