UTeM Sedia 1,200 Sarapan Percuma Setiap Hari Untuk Calon Peperiksaan Akhir
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) meneruskan penganjuran Program Bitara Kasih TUAH TEJA dari 6 hingga 19 Julai bagi menyediakan sarapan pagi percuma kepada pelajar yang menduduki peperiksaan akhir sebagai usaha memastikan kebajikan serta kesejahteraan mereka terus terpelihara.
Program yang dilaksanakan sejak 2023 itu bertujuan membantu pelajar membuat persiapan awal dengan lebih tenang sebelum memasuki dewan peperiksaan, selain memastikan mereka memperoleh nutrisi yang mencukupi bagi menghadapi sesi peperiksaan.
Bagi peperiksaan akhir semester kali ini, sebanyak 1,200 pek sarapan pagi telah diagihkan setiap hari kepada 1,200 pelajar terawal yang hadir di lokasi peperiksaan sepanjang minggu peperiksaan berlangsung di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal dan Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh.
Selain meringankan beban pelajar, program berkenaan turut menggalakkan mereka hadir lebih awal ke lokasi peperiksaan, khususnya bagi sesi peperiksaan pada waktu pagi, sekali gus meningkatkan motivasi dan memberi keselesaan kepada pelajar untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan.
Inisiatif itu juga membuka ruang kepada pengusaha kafe dalam kampus untuk turut sama melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi sumbangan makanan kepada warga pelajar.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, berkata program berkenaan mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh agenda kebajikan pelajar selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Katanya, pelaksanaan program itu menyokong SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 2 (Kelaparan Sifar) dan SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan Yang Baik), sekali gus menyumbang kepada pencapaian SDG 4 (Pendidikan Berkualiti).
"UTeM sentiasa komited memastikan kebajikan pelajar diberi perhatian, khususnya ketika mereka berdepan tempoh peperiksaan yang memerlukan persediaan fizikal
dan mental. Program ini bukan sahaja membantu meringankan beban pelajar, malah memberi motivasi kepada mereka untuk menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin," katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, berkata Program Bitara Kasih TUAH TEJA turut mendukung Teras Strategik 3 Pelan Strategik UTeM, iaitu Menjuarai Khidmat Seni, Mengundang Kesejahteraan, yang memberi penekanan terhadap kesejahteraan warga universiti.
Beliau berkata, bagi memastikan program itu dapat diteruskan pada masa hadapan, pihak universiti membuka peluang kepada agensi kerajaan, sektor swasta, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu untuk menyalurkan sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun barangan.
"Kerjasama semua pihak amat dialu-alukan bagi memastikan lebih ramai pelajar dapat menikmati manfaat program ini, sekali gus membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan dan kejayaan pelajar UTeM," katanya