UTeM Terima Lapan Robot Industri Daripada Konica Minolta, Perkukuh Bakat Teknologi Tinggi
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima endowmen lapan robot industri daripada Konica Minolta Business Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, sebagai langkah memperkukuh pembangunan bakat berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan industri pembuatan dan teknologi digital, baru-baru ini di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.
Penyerahan aset teknologi berkenaan dibuat sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTeM dan Konica Minolta Business Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, yang turut membuka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan.
Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kerjasama dengan pemain industri berteknologi tinggi seperti Konica Minolta penting bagi memastikan kompetensi graduan sentiasa selari dengan perkembangan teknologi serta keperluan sebenar sektor pekerjaan.
“Endowmen lapan robot industri ini pula memberi peluang kepada mahasiswa untuk mempelajari dan mengendalikan teknologi yang digunakan dalam persekitaran industri sebenar, sekali gus merapatkan jurang antara pembelajaran di universiti dengan keperluan tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata pendedahan itu bukan sahaja memperkukuh kemahiran teknikal mahasiswa, malah berupaya merangsang penyelidikan dan inovasi yang lebih berorientasikan penyelesaian industri, khususnya dalam bidang automasi, kejuruteraan pembuatan dan teknologi digital.
Konica Minolta Business Technologies (Malaysia) Sdn Bhd ialah syarikat pembuatan berteknologi tinggi yang beroperasi di Melaka dan terbabit dalam pengeluaran multi-function peripherals (MFP), komponen utama serta teknologi pembuatan digital, selain mempunyai kepakaran dalam automasi, proses pembuatan dan kawalan kualiti.
Bagi Konica Minolta, endowmen berkenaan bukan sekadar sumbangan kepada institusi pendidikan, sebaliknya satu pelaburan jangka panjang untuk membentuk talent pipeline yang memenuhi keperluan industri, terutama bagi operasi syarikat di Melaka.
Melalui pendedahan kepada peralatan, jentera dan teknologi sebenar sebelum menamatkan pengajian, graduan UTeM dijangka mempunyai tahap kesediaan kerja lebih tinggi, sekali gus berpotensi mengurangkan tempoh serta kos latihan apabila mereka menyertai industri selepas bergraduat.
Pemilihan UTeM turut didorong faktor kedudukan geografi yang berhampiran dengan operasi Konica Minolta di Melaka serta kedudukan universiti itu sebagai antara institusi utama dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang menekankan pendidikan teknikal dan pembelajaran berasaskan aplikasi.
Pendekatan itu membolehkan lapan robot industri berkenaan dimanfaatkan bukan sekadar sebagai kemudahan makmal, tetapi diintegrasikan dalam pengajaran dan pembelajaran, projek pelajar, penyelidikan serta pembangunan kurikulum yang dipacu keperluan industri.
MoU itu ditandatangani oleh Massila bagi pihak UTeM, manakala Konica Minolta Business Technologies (Malaysia) Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Naoto Uryu. Turut hadir Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM Profesor Dr Mohd Rizal Salleh serta Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan, Profesor Ir Dr Mohd Asyadi ‘Azam Mohd Abid