Skip to main content
13 July 2026

UTeM, Carrier Malaysia jalin kerjasama perkasa industri HVAC dan TVET

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkukuh kerjasama strategik dengan industri apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Carrier Malaysia Sdn. Bhd. bagi memperkasakan pembangunan modal insan dalam bidang Pemanasan, Pengudaraan Dan Penyaman Udara (HVAC), selain menyokong agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada pelaksanaan latihan profesional, Work-Based Learning (WBL), latihan industri, penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran, seminar teknikal dan pembangunan teknologi bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Profesor Dr. Mohd Rizal Salleh, manakala Carrier Malaysia diwakili Rakan Kongsi Sumber Manusia, Faiz Buksh.

Turut hadir, Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM), Profesor Madya Dr. Nadlene Razali; Timbalan Dekan Akademik, Dr. Nurhidayah Ismail; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengajian Siswazah, Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Afzanizam Mohd Rosli; Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar, Ts. Dr. Nor Azazi Ngatiman; Ketua Jabatan Teknologi Kejuruteraan, Dr. Juffrizal Karjanto; selain barisan pensyarah dan pentadbir universiti.

Delegasi Carrier Malaysia turut disertai; Pengurus Kanan Alam Sekitar, Kesihatan dan Keselamatan, Siti Norain Sabtu, Pengurus Akaun Utama, Khoo Czee Khian serta Pengurus Perkhidmatan, Mohamad Zulfiqar Hamlee.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Profesor Dr. Mohd Rizal Salleh, melalui kerjasama itu, pelajar UTeM, khususnya dari FTKM, akan mendapat pendedahan secara langsung kepada persekitaran industri menerusi latihan profesional, program peningkatan kemahiran dan pembelajaran berasaskan industri yang dijangka meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Kolaborasi berkenaan turut membuka ruang kepada pemindahan ilmu dan teknologi, selain mengukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan industri dalam

melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan sektor HVAC,” ujarnya.

Sebagai simbolik kerjasama, Carrier Malaysia turut menyumbang dua unit Carrier OptiClean bernilai RM10,000 kepada UTeM bagi menyokong aktiviti pembelajaran, latihan serta penyelidikan berkaitan teknologi HVAC dan kualiti udara dalaman.

Pemeteraian MoU itu dijangka menjadi pemangkin kepada kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak dalam memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal dan pembangunan teknologi negara