Skip to main content
17 November 2025

UTeM Anjur Festival Antarabangsa AI dan Keselamatan Siber Pertama Kali Dalam Negara

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Festival Antarabangsa Kepintaran Buatan (AI) dan Keselamatan Siber (IFACS) 2025 yang merupakan pertama kali penganjuran sedemikian dalam negara.

Festival yang dianjurkan oleh UTeM menerusi Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) ini telah dijayakan dengan penganjuran bersama dengan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) bertempat di salah sebuah hotel di Putrajaya, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM merangkap Pengerusi MTUN, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, IFACS 2025 berfungsi sebagai platform strategik untuk menghimpunkan pemegang kepentingan utama termasuk ahli akademik, penyelidik, saintis dan profesional industri dari seluruh dunia bagi mencari solusi terbaik cabaran AI dan Keselamatan Siber merentas sempadan global masa kini.

Jelasnya, inisiatif ini membuktikan komitmen hebat UTeM dalam menyokong agenda nasional yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam mempercepatkan pertumbuhan negara melalui kemajuan teknologi AI.

“UTeM melihat ini sebagai peluang untuk meningkatkan daya saing global Malaysia dan untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersedia masa hadapan yang mampu berkembang maju dalam era transformasi digital,” ujarnya.

Massila berkata, antara lain IFACS 2025 ini telah membuahkan impak berangkai kepada nasional dan global antaranya, mengukuhkan FAIX UTeM sebagai pusat kecemerlangan dalam AI dan Keselamatan Siber yang melibatkan pemimpin dari kedua-dua ahli akademik dan industri.

“Pentas ini turut berjaya menjana idea penyelidikan baharu dan memupuk pemikiran kritis dan penyelesaian masalah melalui perbincangan dan pertukaran akademik yang bermakna.

“Pada masa yang sama ia berjaya meningkatkan kerjasama strategik antara industri dan ahli akademik dalam membangunkan penyelesaian praktikal dan inovatif dalam AI dan keselamatan siber.

Pelbagai pengisian hebat telah dijayakan, antaranya menampilkan sesi ucaptama oleh pakar dari Google, Fortinet, Technical University of Košice, Slovakia, dan Guangxi Minzu University, China, yang membincangkan AI beretika, kepercayaan digital, dan keselamatan siber generasi baharu.

Menerusi IFACS 2025 ini para peserta turut mengikuti forum akademik dan dapat menyaksikan pelbagai produk inovasi berteraskan AI yang disediakan oleh universiti dan industri.

Penganjuran edisi pertama ini telah berjaya menarik hampir 800 peserta, termasuk penyelidik, pemimpin industri, dan pelajar, untuk meneroka inovasi dalam AI dan keselamatan siber, yang merupakan pemacu utama transformasi digital negara.

IFACS 2025 ini telah dirasmikan oleh Pro Canselor UTeM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Dato’ Dr Husaini Omar, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Zahriladha Zakaria, Penolong Naib Canselor Strategik dan Kelestarian Global, Prof Madya Dr Musthafah Mohd Tahir dan Dekan FAIX, Prof Madya Dr Muhammad Hafidz Fadzli Md Fauad