Teguhkan Hubungan Dua Negara: UTeM dan NJUIT Republik China Bakal Bina Kolej Zheng He @ Cheng Ho di Melaka
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Nanjing University of Industry Technology (NJUIT), Republik China, bakal membina Pusat Pembelajaran Zheng He @ Cheng Ho di Melaka.
Agenda ini merupakan antara pengisian perancangan bersama yang dipersetujui untuk dijayakan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTeM dan NJUIT, semalam.
Pemeteraian dan pertukaran MoU ini, UTeM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin manakala NJUIT pula diwakili oleh Pengarah NJUIT di Malaysia, Dr. Guo Yundong.
Majlis ini telah disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Menteri dan Penjaga Hal Ehwal Kedutaan Republik China di Malaysia, Zheng Xuefang sewaktu Persidangan Antarabangsa Cheng Ho 2025 di Bandaraya Melaka.
Massila berkata, penubuhan Kolej Zheng He @ Cheng Ho antara perkara utama yang bakal dijayakan bersama dan agenda ini tentunya akan memperkukuhkan hubungan strategik yang sedia terjalin erat antara Malaysia dan Republik China.
Ujarnya, menerusi kerjasama ini bukan hanya meneguhkan rantaian kerjasama dalam konteks akademia semata-mata malahan turut menyuntik impak ekonomi dan pelaburan antara kedua-dua negara serta industri berkaitan yang merentas sempadan global.
Jelasnya, merujuk kepada isi kerjasama, antara lain ia menyentuh kepada bidang tumpuan utama yang berfokus kepada latihan dalam bidang tumpuan dunia pada masa kini seperti E-Dagang, Pengurusan Rantaian Bekalan dan Logistik, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kecerdasan Buatan (AI), Teknologi Kenderaan Elektrik (EV) dan Teknologi Aeroangkasa
Menurut Massila, UTeM dan NJUIT turut bersetuju dalam menjayakan kerjasama akademik dan pertukaran ilmu bagi dalam konteks akademia, penyelidikan dan inovasi yang berpermintaan tinggi.
“Justeru antara aktiviti yang akan diadakan bersama adalah program pertukaran pensyarah dan pelajar bagi tempoh yang dipersetujui di samping penganjuran bersama aktiviti akademik dan profesional, termasuk pertukaran penyelidik, saintis, dan pakar teknikal.
“Antara lain kedua-dua pihak turut sepakat untuk menjayakan kerjasama dalam pengajaran dan penyelidikan merentasi bidang kejuruteraan, pengurusan, ekonomi, dan bidang berkaitan.
“Di samping itu, UTeM dan NJUIT turut berhasrat untuk membangunkan bakat menerusi program latihan industri secara kolaboratif bersama rakan industri di kedua-dua negara, katanya.
Projek ini di bawah penyelarasan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) yang diketuai Dekan, Profesor Dr. Mohd Syaiful Rizal Abdul Hamid dan pasukannya.