Skip to main content
17 April 2019

Tokoh Industri Multinasional Kongsi Pengalaman Bersama Ahli Akademik UTeM

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperhebatkan hubungan strategik bersama dengan pihak industri multinasional dan juga tempatan.

Selari dengan itu, turut diadakan sesi CEO’s Talk bersama tokoh industri multinasional yang merupakan Group Chairman, Malaysia Operations, Western Digital Malaysia Sdn Bhd., Datuk Syed Hussian Al-Junid.

Dekan FTKEE UTeM,  Profesor Madya Ts. Mohd Rahimi Yusoff berkata, satu perkongsian menarik daripada Datuk Syed Hussian Al-Junid yang  berpengalaman 18 tahun dalam bidang industri berkaitan teknologi pembangunan pemacu cakera keras (hard disk drive).  

Jelas Rahimi, dengan pengalaman dan ketokohan beliau dalam bidang industry maka Syed Hussian Al Junid turut telah dilantik sebagai Profesor Adjung sebelum ini bagi Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), UTeM.

Merujuk kepada sesi perkongsian tersebut Syed Hussian telah berkongsi kepakaran dan pengalaman beliau dalam dunia kerjaya beliau termasukalah berkenaan nilai etika dan integriti kerja yang tinggi ke arah mencapai kejayaan.

Katanya, etika merupakan garis panduan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan dan harus diamalkan bagi mencapai budaya kerja yang cemerlang.

Berdasarkan pengalaman beliau terdapat enam etika utama yang perlu semasa di tempat kerja iaitu boleh dipercayai (trustworthiness), hormat-menghormati (respect), bertanggungjawab (responsibility), adil (fairness), prihatin (caring) dan kewarganegaraan (citizenship).

Program ini telah dianjurkan oleh Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) dan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT).

Program ini telah diadakan di Samsung IOT, Kampus Industri UTeM dan telah dihadiri oleh pengawai kanan UTeM dan juga tenaga pengajar universiti ini.