Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima tiga orang Ahli Lembaga Pengarah UTeM ( LPU) baharu bagi menggantikan ahli-ahli LPU yang sebelumnya yang telah tamat tempoh lantikan.

Tiga orang ahli LPU baharu itu adalah Ketua Penolong Pengarah Belanjawan Negara, Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan Malaysia, Zulkhairil Amar Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Pejabat Kerajaan Negeri Melaka, Dato’ Hasim Hasan dan Felow Kanan, Bahagian Strategi Penyelidikan dan Pelaburan Khazanah (KRIS), Khazanah Nasional Berhad, Dato' Roslina Zainal.

Naib Canselor UTeM yang juga merupakan Ahli LPU, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib mengalu-alukan ketiga-tiga Ahli LPU baharu yang dilantik oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik.

Jelas beliau, pelantikan tersebut adalah menurut kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 18 (1) Perlembagaan UTeM [P.U. (A) 470] dengan persetujuan  Menteri Pendidikan Malaysia.

Katanya, pelantikan ini juga adalah selari dengan momentum UTeM ke arah kecemerlangan pendidikan teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka di dunia serta Revolusi Industri 4.0.

Pelantikan Zulkhairil Amar Mohamad dan Dato’ Hasim Hasan adalah berkuat kuasa bagi tempoh tiga tahun bermula pada 1 April lalu manakala Dato’ Roslina Zainal turut bagi tempoh 3 tahun yang berkuat kuasa pada 15 Mac lalu bagi mengisi kekosongan kerusi Ahli Lembaga Pengarah terdahulu yang telah tamat tempoh lantikan mereka.

Zulkhairil Amar Mohamad yang kini memegang portfolio Ketua Penolong Pengarah Belanjawan Negara, Pejabat Belanjawan Negara, telah berkhidmat bersama Kementerian Kewangan Malaysia semenjak dari tahun 2001 dan beliau dilantik di atas kuota lantikan sebagai wakil Pegawai Perkhidmatan Awam (Kementerian Kewangan Malaysia) menggantikan Dr. Normas Awang yang telah tamat tempoh lantikan pada 17 Disember tahun lalu.

Manakala Dato’ Hasim Hasan pula merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, mula berkhidmat di Pejabat Kerajaan Negeri Melaka pada 1 Februari lalu dan telah menjadi penjawat awam semenjak dari tahun 1989 menerusi jawatan Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, Negeri Sembilan.

Pelantikan beliau adalah di atas kuota lantikan sebagai wakil masyarakat menggantikan Datuk Seri Roslan Ibrahim yang telah tamat tempoh lantikan pada 31 Januari lalu.

Dato' Roslina Zainal yang merupakan Felow Kanan, Bahagian Strategi Penyelidikan dan Pelaburan Khazanah (KRIS), Khazanah Nasional Berhad mempunyai  pengalaman luas menerusi beberapa syarikat gergasi seperti Sapura Energy Berhad, TNB Fuel Services Sdn Bhd dan Prai Power Sdn Bhd.

Pelantikan beliau adalah di atas kuota lantikan sebagai wakil sektor swasta menggantikan Datuk Omar Shariff Mydeen yang telah tamat tempoh lantikan pada 31 Januari lalu.

Sementara itu pihak UTeM turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mantan ahli-ahli LPU yang telah memberikan khidmat terbaik dan cemerlang kepada UTeM sebelum ini.