Industri Sokong Program Baharu UTeM, Lahir Bakat Pembuatan Aeroangkasa Berkemahiran Tinggi
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkukuh agenda negara bagi melahirkan bakat berkemahiran tinggi untuk sektor aeroangkasa menerusi pembangunan program Sarjana Muda Teknologi Pemesinan Industri dalam Pembuatan Aeroangkasa dengan Kepujian.
Bagi menjayakan program akademik baharu itu maka UTeM menggunakan formula tersendiri menerusi pendekatan libat urus bersama lebih 10 syarikat dan pemain industri aeroangkasa serta institusi pengajian tinggi bagi memastikan kandungan kurikulumnya benar-benar menepati keperluan sektor berteknologi tinggi berkenaan.
Usaha itu direalisasikan menerusi Program Roundtable: Pembangunan Program Akademik Baharu Teknologi Pembuatan Aeroangkasa anjuran Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), UTeM, baru-baru ini.
Program berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia), Prof Ir Ts Dr Shamsul Kamar Abu Samah.
Program sarjana muda berkenaan memberi tumpuan kepada bidang kritikal pembuatan aeroangkasa, termasuk CNC dan Multi-Axis Machining, Aerospace Component Manufacturing, Titanium, Superalloys dan Composite Machining, selain aspek Aerospace Quality & Compliance (AS9100).
Hasil dapatan bersama dengan pihak industri akan diterapkan dalam penambahbaikan struktur kurikulum dan kursus yang dicadangkan, termasuk elemen kemahiran digital lanjutan seperti simulasi berbantukan komputer dan automasi pemesinan aeroangkasa.
Dekan FTKIP, Profesor Ir. Dr. Mohd Asyadi 'Azam Mohd Abid, berkata pendekatan berasaskan input industri itu penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan bukan sekadar menguasai teori, sebaliknya mempunyai kemahiran teknikal yang boleh terus dimanfaatkan apabila memasuki alam pekerjaan.
“Pembangunan program ini mengambil kira keperluan sebenar industri supaya graduan yang dihasilkan mempunyai kompetensi yang relevan dengan teknologi dan proses pembuatan aeroangkasa semasa.
“Kita juga memberi penekanan kepada pengalaman pembelajaran berasaskan industri supaya pelajar mendapat pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar, termasuk penggunaan teknologi pemesinan berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata, sokongan industri seperti CTRM Aero Composites dan G7 Aerospace terhadap struktur latihan industri yang dicadangkan, termasuk potensi penempatan Work-Based Learning (WBL) berasaskan projek sebenar memberikan nilai tambah kepada pembangunan program itu.
Katanya, pendekatan berkenaan membolehkan pelajar memahami cabaran sebenar industri serta membina keupayaan menyelesaikan masalah sebelum mereka menamatkan pengajian.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin, berkata pembangunan program berkenaan membuktikan komitmen universiti untuk bertindak balas terhadap keperluan industri strategik negara, khususnya dalam bidang berteknologi tinggi.
“Kerjasama antara universiti dan industri adalah kunci dalam memastikan pembangunan bakat sentiasa bergerak seiring dengan perubahan teknologi serta keperluan pasaran pekerjaan.
“UTeM mahu memastikan graduan yang dilahirkan mempunyai gabungan pengetahuan, kemahiran teknikal, kompetensi digital dan pengalaman industri yang diperlukan bagi membolehkan mereka bersaing dalam sektor aeroangkasa,” katanya.
Dalam pada itu, sesi libat urus turut mengenal pasti peluang kolaborasi antara universiti dan industri bagi mengoptimumkan penggunaan makmal serta fasiliti sedia ada.
Penglibatan Kolej Vokasional, Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) dan politeknik pula memberi input penting mengenai kesediaan calon pelajar serta laluan pendidikan yang bersesuaian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda dalam bidang pembuatan aeroangkasa.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat (LOI) antara FTKIP dan institusi pengajian yang dijemput sebagai langkah memperkukuh kerjasama akademik, perkongsian kepakaran serta pembangunan bakat bagi menyokong pertumbuhan industri pembuatan aeroangkasa negara.
Langkah itu dijangka dapat memperkukuh ekosistem pendidikan dan industri aeroangkasa, selain membantu menyediakan kumpulan tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran khusus bagi memenuhi tuntutan industri pembuatan aeroangkasa yang semakin berkembang.