UTeM catat kemasukan diploma tertinggi dalam sejarah, peningkatan 64 peratus
MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencipta sejarah apabila merekodkan kemasukan 1,178 pelajar baharu program diploma bagi sesi akademik 2026/2027, sekali gus menjadi jumlah pengambilan tertinggi sejak universiti itu ditubuhkan.
Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan 64 peratus berbanding 719 pelajar yang mendaftar pada sesi lalu, sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat yang semakin tinggi terhadap program diploma serta laluan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) yang ditawarkan universiti itu.
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin, berkata lonjakan itu bukan sahaja membuktikan peningkatan minat dalam kalangan lepasan sekolah, malah mengukuhkan peranan UTeM sebagai institusi TVET yang memenuhi keperluan industri negara.
"Pertambahan ketara ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap kualiti program diploma UTeM dan lami akan terus memperkukuh pendidikan TVET melalui penawaran program yang sentiasa relevan dengan keperluan industri dan pembangunan ekonomi negara," katanya selepas Hari Pendaftaran Perdana pelajar baharu di Kompleks Dewan Kuliah dan Dewan Sukan, Kampus Induk UTeM, di sini, semalam.
Beliau berkata, trend peningkatan kemasukan pelajar diploma ke UTeM turut menunjukkan perkembangan positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, seramai 414 pelajar mendaftar pada Hari Pendaftaran Perdana bagi sesi 2023 dengan jumlah keseluruhan 474 pelajar, sebelum meningkat kepada 572 pelajar pada 2024 dengan jumlah keseluruhan 606 pelajar, manakala tahun lalu merekodkan 719 pelajar.
"Perkembangan ini membuktikan TVET kini semakin diterima sebagai pilihan utama dalam kalangan pelajar kerana menawarkan laluan kerjaya yang jelas serta menepati kehendak industri," katanya.
Mengulas mengenai pecahan pengambilan, Massila berkata, Diploma Teknologi Maklumat mencatat jumlah tertinggi dengan 385 pelajar, diikuti Diploma Kejuruteraan Elektronik (176), Diploma Kejuruteraan Elektrik (166), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (165), Diploma E-Commerce (155) dan Diploma Kejuruteraan Pembuatan (131).
Beliau berkata, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan pengambilan tahun ini ialah pengenalan Program Diploma E-Commerce, pertambahan kapasiti pengambilan pelajar serta peningkatan kesedaran masyarakat terhadap potensi TVET sebagai laluan pendidikan yang menawarkan prospek kerjaya kompetitif.
"Program Diploma E-Commerce diperkenalkan bagi memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang dalam bidang ekonomi digital dan dijangka menjadi antara program tumpuan pada masa akan datang," katanya.
Sementara itu, semua pelajar baharu akan mengikuti Minggu Haluan Siswa yang berlangsung dari 20 hingga 22 Julai ini sebagai sebahagian daripada proses penyesuaian sebelum memulakan sesi pengajian di universiti berkenaan