Skip to main content
26 May 2026

UTeM Perkukuh Jaringan Global Pendidikan Tinggi, Penyelidikan & Pembangunan Teknologi Bersama Universiti Terkemuka Uzbekistan

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan dan TVET negara apabila memeterai tiga Surat Niat (LoI) dan satu Memorandum Persefahaman universiti-universiti terkemuka di Uzbekistan menerusi siri lawatan kerja rasmi ke negara Asia Tengah itu baru-baru ini.

Kerjasama strategik berkenaan membabitkan LoI bersama Bukhara State University, Samarkand State Architecture and Construction University dan Tashkent State University of Economics manakala MoU bersama Samarkand State Pedagogical Institute.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, lawatan itu dilaksanakan atas jemputan Pejabat Senat Republik Uzbekistan melalui Kedutaan Uzbekistan di Malaysia sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan teknologi.

Beliau berkata, kerjasama yang dimeterai itu memberi fokus kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI), mobiliti akademik, penyelidikan antarabangsa, pendidikan digital, pelancongan pendidikan serta pembangunan bakat global berteraskan TVET.

“UTeM komited memperluaskan jaringan antarabangsa dalam bidang TVET dan teknologi melalui kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat besar kepada pelajar, penyelidik dan industri kedua-dua negara,” katanya.

Ujarnya, UTeM memeterai LoI bersama Bukhara State University bagi memperkukuh kerjasama dalam transformasi digital dan pembangunan teknologi AI.

“Melalui kerjasama itu, kedua-dua institusi bersetuju melaksanakan latihan dan pensijilan AI, program pertukaran bakat, Winter School serta penyelidikan terjemahan bahasa Melayu-Uzbekistan melalui Geran Padanan Antarabangsa.

“Selain itu, laluan artikulasi turut akan diwujudkan bagi membolehkan lepasan diploma BSU menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UTeM,” katanya.

Massila menyatakan UTeM turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Samarkand State Architecture and Construction University (SSACU), yang diiktiraf antara universiti terbaik Uzbekistan dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan.

Menurutnya, kerjasama itu memberi penekanan kepada pembangunan teknologi Digital Twin dan pemeliharaan warisan budaya menerusi penglibatan fakulti warisan universiti berkenaan serta jaringan bersama UNESCO.

“Pada peringkat awal, kedua-dua universiti bersetuju melaksanakan program e-dagang, Open and Distance Learning (ODL), latihan industri antarabangsa dan penubuhan Learning Centre,” ujarnya.

Kerjasama UTeM bersama Tashkent State University of Economics (TSUE) pula tertumpu kepada pembangunan program akademik, e-dagang dan pelancongan halal.

Antara agenda utama ialah pelaksanaan Diploma in E-Commerce yang memberi fokus kepada bidang rantaian bekalan, logistik dan pemasaran teknologi tinggi dengan sokongan platform Alibaba dan Taobao.

Kedua-dua institusi juga bersetuju menawarkan program MBA, Sarjana Sains Data dan Analitik secara dalam talian selain melaksanakan penyeliaan bersama peringkat PhD yang menawarkan insentif biasiswa sehingga 30 peratus kepada kakitangan dan pelajar pascasiswazah.

Di samping itu, penyelidikan bersama bertemakan “Halal Tourism” dan “e-Halal Tourism” akan dilaksanakan melalui pembiayaan Geran Padanan Antarabangsa serta pembangunan makmal digital Digital Twin AS-Lab.

Sementara itu, kerjasama dengan Samarkand State Pedagogical Institute pula memberi fokus kepada pembangunan pendidikan inklusif, AI dan pembelajaran digital.

Melalui pemeteraian MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan program AI Training Leadership bagi melatih guru dan kakitangan institusi pendidikan selain membuka peluang kepada staf dan pelajar menyambung pengajian Sarjana dan PhD di UTeM.

Kerjasama turut merangkumi pelaksanaan kursus latihan, program bahasa global secara dalam talian, pembangunan sekolah tinggi baharu khusus latihan AI serta aktiviti kesukarelawanan dan pelancongan pendidikan.

Turut bersama dalam lawatan dan kerjasama strategik ini adalah Pengarah Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Kecerdasan Buatan, Profesor Madya Dr Siti Hajar Sheikh Fadzullah.