Skip to main content
28 April 2026

Siswa UTeM Anjur Wacana Kerjaya Alumni MTUN, Perkasa Mahasiswa Penuhi keperluan dan Cabaran Realiti Industri

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan apabila mahasiswa universiti ini berjaya menganjurkan Wacana Kerjaya Alumni Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) bersempena UTeM Career Fair 2026 yang diadakan di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.

Program wacana berkenaan yang menghimpunkan lebih 500 peserta menjadi platform strategik yang menghubungkan mahasiswa dengan realiti industri menerusi perkongsian pengalaman sebenar alumni MTUN yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor kritikal negara.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, penganjuran program itu mencerminkan anjakan paradigma dalam pembangunan mahasiswa yang lebih proaktif dan berorientasikan masa hadapan.

“Ini adalah manifestasi pemerkasaan mahasiswa yang bukan sahaja menunggu peluang, tetapi mencipta peluang. Platform seperti ini membantu mahasiswa memahami kehendak industri dengan lebih jelas serta meningkatkan keupayaan mereka untuk kekal relevan dalam dunia kerjaya yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau berkata universiti komited melahirkan graduan bukan sahaja berilmu, malah memiliki pemikiran luas, berani meneroka serta berupaya menjadi pemangkin perubahan dalam bidang masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Program, Haziq Damia berkata penglibatan alumni dalam program tersebut memberi nilai tambah signifikan kepada pembangunan mahasiswa.

“Perkongsian pengalaman sebenar alumni termasuk cabaran, kegagalan dan kejayaan memberikan gambaran lebih jelas dan realistik kepada pelajar dalam merancang hala tuju kerjaya mereka,” katanya.

Menurutnya, program berkenaan menampilkan pelbagai pengisian termasuk sesi dialog terbuka, perkongsian kerjaya alumni serta sesi jaringan profesional yang

memberi peluang kepada mahasiswa berinteraksi secara langsung dengan pemain industri.

“Pendekatan inklusif dan praktikal yang diketengahkan memberi penekanan kepada tiga aspek utama iaitu pendedahan realiti industri, pembinaan jaringan profesional dan pemetaan kerjaya yang lebih tersusun dalam kalangan mahasiswa,” ulas beliau yang merupakan pelajar tahun 2, program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik (FTKE).

Penganjuran Wacana Kerjaya Alumni MTUN itu bukan sahaja melengkapkan UTeM Career Fair 2026, malah memperlihatkan peranan aktif mahasiswa sebagai pemacu dalam mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih dinamik, relevan dan berimpak tinggi sejajar dengan keperluan masa depan negara