Skip to main content
12 February 2026

UTeM DAN MTUN ANJUR SIDANG AKADEMIA PENYELIDIKAN MTUN BERSAMA INDUSTRI 2026

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menganjurkan Sidang Akademia Penyelidikan MTUN Bersama Industri 2026 pada hari ini yang diadakan di Hotel Double Tree, Putrajaya, semalam.

Naib Canselor UTeM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor MTUN, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, Sidang Akademia Penyelidikan MTUN Bersama Industri 2026 menyediakan platform perbincangan di antara MTUN dan 25 buah industri bertaraf dunia.

Jelasnya, tujuan utamanya adalah untuk menjalin dan merapatkan hubungan sekaligus mendapatkan kesefahaman di antara MTUN dan juga industri dalam penghasilan dan penggunaan tenaga kerja teknikal mahir.

“Secara tidak langsung agenda bersepadu ini turut memastikan fungsi MTUN sebagai sebuah Universiti Teknikal dalam melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri.

Agenda ini juga dilihat sebagai medan untuk berkongsi sumber, kepakaran dan jaringan industri secara lebih bersepadu, agar kekuatan kolektif dapat dimanfaatkan secara maksimum,” katanya.

Tambah beliau, program ini juga turut selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035, MTUN melihat keperluan untuk memperkukuh hubungan tuntas akademia–industri melalui pendekatan yang lebih terselaras, berfokus dan berskala nasional, agar universiti kekal relevan dan berdaya saing dalam persekitaran global yang semakin mencabar.

“Universiti-universiti di bawah MTUN bukan hanya sekadar sebagai institusi akademik, tetapi sebagai pelaksana kepada hala tuju dan aspirasi nasional yang digariskan oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Sokongan dasar yang konsisten daripada kementerian telah membolehkan MTUN menterjemahkan agenda akademia–industri kepada hasil yang nyata di lapangan,” katanya.

MTUN merupakan gabungan beberapa buah universiti teknikal dalam negara seperti UTeM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Pada majlis ini turut menyaksikan pertukaran 27 dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoU) di antara MTUN bersama dengan industri yang hadir.

Pada masa yang sama turut diadakan penyerahan cek cura sumbangan endowmen daripada industri kepada MTUN RM 51.86 juta kepada UTeM dan RM 50 ribu kepada UTHM.

Sidang Akademia Penyelidikan MTUN Bersama Industri 2026 dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Dato’ Dr Husaini Omar