Skip to main content
23 October 2025

UTeM Anjur Legends Showdown E-Sport Tournament Bertaraf Antarabangsa

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mempamerkan kecemerlangan dalam konteks inovasi dan digital menerusi bidang E Sukan dengan menganjurkan Legends Showdown E-Sport Tournament 2025 pada 19 dan 20 April 2025 bertempat di UTeM.

Pengarah Program, Nurshalihah Diyanah Ajah Maidien berkata, program bertaraf antarabangsa ini menghimpunkan lebih 505 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Jepun, melibatkan penyertaan pelajar universiti awam dan swasta serta komuniti e-sukan luar.

Katanya, penganjuran secara hibrid (fizikal dan dalam talian) membuktikan keupayaan UTeM menganjurkan acara digital berskala besar dengan sistem pengurusan yang efisien dan profesional.

Ujarnya, program ini merupakan anjuran Jawatankuasa Kolej Kediaman Siswa/i (JAKSIS) Satria (Lekiu) dengan kerjasama Kelab E-Sport UTeM ini mempertandingkan dua permainan popular iaitu Mobile Legends: Bang Bang dan Valorant.

“Pertandingan yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan aksi penuh mendebarkan antara pasukan yang menunjukkan kehebatan taktikal dan semangat kesukanan yang tinggi.

“Sambutan luar biasa daripada peserta dalam dan luar negara membuktikan pelajar UTeM mampu bersaing di peringkat antarabangsa serta menonjol dalam dunia digital.

“Kami berbangga melihat komitmen dan semangat peserta yang menjadikan kejohanan ini satu kejayaan besar, bukan hanya dalam konteks pertandingan, tetapi juga pembangunan bakat e-sukan pelajar,” katanya yang merupakan pelajar tahun 3, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik (FTKE), UTeM.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri bin Mohamad Sharif, menegaskan bahawa program ini selaras dengan aspirasi Pelan Strategik UTeM yang memberi tumpuan kepada kepimpinan, keusahawanan dan digitalisasi.

“E-sukan kini menjadi wadah penting dalam membentuk kemahiran abad ke-21 seperti kerja berpasukan, pemikiran strategik dan daya saing global. Program ini membuktikan pelajar UTeM mampu menjadi peneraju dalam ekosistem e-sukan serantau,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, Legends Showdown E-Sport Tournament 2025 berjaya mencipta impak besar terhadap pembangunan pelajar dan memperkukuh kedudukan UTeM sebagai institusi pendidikan teknikal yang progresif serta inovatif dalam bidang sukan digital di peringkat antarabangsa.