Skip to main content
10 January 2025

UTeM Bangunkan Ruang Bacaan dan Jayakan Projek ‘Beach Cleanup’ Bersama Komuniti Pantai Siring dan Pulau Burung

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah membangunkan ruang bacaan dan menjayakan projek komuniti ‘Beach Cleanup’ di Pantai Siring dan Pulau Burung, Jasin, Melaka, baru-baru ini.

Program ini merupakan anjuran Perpustakaan Laman Hikmah, UTeM dengan kerjasama Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka serta penglibatan Pusat Kesihatan UTeM, Kelab Sahabat Perpustakaan yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi UTeM.

Ketua Pustakawan UTeM, Siti Saluwa Jamal berkata, ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) di samping melaksanakan Knowledge Sharing Transfer Program (KSTP) bagi memupuk kebersamaan, mendidik, dan menyumbang kepada komuniti setempat.

Ujarnya, usaha ini juga turut menjadi elemen penyumbang kepada inisiatif memajukan Pantai Siring dan Pulau Burung sebagai salah satu destinasi tarikan pelancongan di kawasan Jasin.

“Menerusi program ‘Beach Cleanup’ yang telah dilaksanakan di kedua-dua kawasan ini, kami telah berjaya mengumpul sebanyak 500 kilogram sampah yang berupa sisa pepejal.

“Usaha berterusan menjaga kelestarian alam sekitar secara berperingkat serta penerapan budaya menjaga kebersihan persekitaran di kawasan pantai ini perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Menerusi program ini juga pihak UTeM selaku institusi pertama yang telah berjaya membangunkan Ruang Bacaan di Pantai Siring dengan menempatkan sebanyak 306 naskah buku dan majalah hasil sumbangan Perpustakaan Laman Hikmah bagi tujuan bacaan umum untuk dimanfaatkan oleh komuniti setempat.

Sementara itu, Pengarah Progam yang juga Timbalan Ketua Pustakawan, Mahadir Che Ali menyatakan, menerusi program ini papan tanda program ‘Beach Cleanup’ telah dinaikkan di Pulau Burung sebagai tanda projek komuniti pertama telah dilaksanakan oleh pihak UTeM di pulau tersebut.

“Ini adalah seiringan dengan hasrat pihak kerajaan tempatan yang sedang giat berusaha

memajukan Pantai Siring dan Pulau Burung sebagai destinasi pelancongan berdaya tarikan tinggi di Melaka,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, antara pengisian lain program ini UTeM menerusi Pusat Kesihatan UTeM turut mengadakan program pemeriksaan dan konsultasi kesihatan yang memberi manfaat kepada 60 orang penduduk tempatan di sini.

Lebih menarik lagi, program ini telah berjaya mendapat sumbangan daripada Yayasan Bank Rakyat serta kerjasama erat daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Serkam, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulai, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Jasin, Jawatankuasa Pembangunan Nelayan (JPN) Pantai Siring, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Majlis perasmian penutup program ini disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, YB Datuk Haji Zaidi Attan yang memuji usaha murni UTeM dalam memastikan kawasan pantai kekal bersih dan menarik sebagai destinasi pelancongan.

Turut hadir adalah Ketua Pustakawan UTeM, Siti Saluwa Jamal dan Pengarah Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka Profesor Ts. Dr. Effendi Mohamad