Skip to main content
05 November 2024

UTeM Jana Graduan Berkebolehpasaran Tinggi Bergaji Premium

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya menghasilkan graduan berkebolehpasaran tinggi dan bergaji premium selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dan negara.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM terus mencatatkan peratusan tertinggi kebolehpasaran graduan dalam dalam sejarah bagi tahun 2023 sebanyak 97.7% meningkat berbanding tahun 2022 sebanyak 96.4%.

Jelasnya, kejayaan ini meletakkan UTeM sebagai juara berganda dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan berada pada kedudukan kelima dalam kalangan 20 universiti awam di Malaysia.

Ujarnya, pada masa yang sama UTeM terus ke hadapan menyahut aspirasi nasional bagi graduan bergaji premium menerusi pelbagai inisiatif dan agenda komprehensif yang telah disempurnakan.

“UTeM menjana hasil memberangsangkan apabila peratusan graduan UTeM bergaji premium bagi tahun 2022 mencapai sebanyak 7.6% seterusnya meningkat lagi kepada 8.6% pada tahun 2023.

“Sehubungan dengan itu, berdasarkan kepada kajian semasa kami menjangkakan lonjakan peningkatan berterusan peratusan graduan bergaji premium bagi tahun 2024 ini,” ujarnya lagi.

Mengulas tentang bilangan pendaftaran pelajar pula, UTeM merupakan destinasi utama kepada lepasan SPM, STPM, Matrikulasi dan diploma bagi menyambung pengajian teknikal.

“Jika dibandingkan peningkatan bilangan pendaftaran pelajar dicatatkan bagi tempoh 2 tahun berturut-turut bagi tahun 2023 dan 2024 yang mana pendaftaran pelajar diploma seramai 474 orang dan 3,116 orang bagi ijazah sarjana muda tahun 2023.

“Seterusnya lonjakan peningkatan pada tahun 2024 dengan pendaftaran pelajar diploma meningkat 28% kepada 606 orang manakala peningkatan 14% pula bagi pelajar ijazah sarjana muda menjadikan angka seramai 3,545 orang dicatatkan.

“Pencapaian ini tentunya memberikan impak langsung kepada jumlah keseluruhan enrolmen pelajar UTeM bagi tiga tahun berturut-turut dengan catatan sebanyak 16,986 pelajar tahun 2022, 18,034 pelajar tahun 2023 dan terus meningkat kepada 18,770 orang pelajar bagi tahun semasa 2024.

Beliau berkata sedemikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan sempena dengan Majlis Konvokesyen UTeM ke 20 yang akan berlangsung pada 9 hingga 11 November nanti.

Majlis Konvokesyen UTeM ke 20 melakar sejarah tersendiri buat UTeM apabila seramai 3,459 orang graduan bakal diraikan yang mana jumlah ini menjadi bilangan graduan teramai dalam sejarah UTeM sejak 24 tahun penubuhannya dan sebagai perbandingan angka ini meningkat berbanding tahun 2023 seramai 3,378 orang graduan.

UTeM terus mempamerkan pelbagai pencapaian cemerlang di peringkat nasional mahupun di pentas dunia, antaranya UTeM telah dinobatkan Universiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Terbaik Malaysia bagi kategori universiti awam menerusi Education + TVET Asia Publications dan turut berjaya merangkul Anugerah Universiti Pilihan Majikan (Employers’ Choice of University Award).

Tunggak kepimpinan UTeM turut mendapat pengiktirafan berganda apabila Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin diiktiraf sebagai penerima Anugerah Personaliti Cemerlang Malaysia (Kepimpinan TVET) dan beliau turut menerima anugerah World Distinguished Women Leader Lifetime Achievement Award dalam World Women Economic & Business Summit (WWEBS).

Strategi UTeM tampilkan formula strategik menerusi TVET Place & Train UTeM@KPT bagi menawarkan peluang penempatan pekerjaan bergaji premium buat graduan yang digerakkan melalui 4 inisitif kerangka utama yang terdiri daripada JELITA UTeM@KPT, UTeM-Industrial Playground, Industry-MTUN Cyber Security Consortium dan National Industrial Career Expo (NICE@UTeM) kian membuahkan hasil memberangsangkan.

Pada masa yang sama turut menjulang TVET di persada global bilamana UTeM dan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menganjurkan MTUN Industry-Academia Discource on Advanced TVET (MIAD) sebelum ini bagi mencorak acuan kecemerlangan TVET masa hadapan di persada global