Perluasan Hubungan Antarabangsa: UTeM Jalin Kerjasama Strategik Bersama Universiti Terbaik China
Memperluaskan hubungan di peringkat antarabangsa maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjalin kerjasama strategik bersama Universiti Peking yang merupakan universiti terbaik di Repulik Rakyat China.
Kerjasama strategik ini dizahirkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah berlangsung pada hari ini, UTeM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim bersama dengan wakil utama Universiti Peking, hari ini (23 Oktober).
Mengulas kerjasama ini, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, kerjasama ini secara langsung telah mengukuhkan hubungan erat antara dua negara Malaysia dan China.
Katanya, kerjasama ini turut menzahirkan kepercayaan dan keterujaan pihak Universiti Peking terhadap UTeM yang terus menyerlah sebagai Universiti TVET terbaik di Malaysia.
Mengupas tentang pengisian kerjasama ini, Massila berkata kerjasama ini membuka ruang penerokaan dan perkongsian kepakaran bersama yang akan memberikan impak langsung di pentas dunia pendidikan tinggi antarabangsa.
“Kerjasama ini tentunya turut akan mengukuhkan lagi dimensi kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan mahasiswa termasuklah program penyeliaan bersama kedoktoran dan ijazah sarjana bagi dua universiti ini.
“Di samping itu, perspektif mobiliti pelajar dan pelaksanaan program-program berimpak bersama turut menjadi tumpuan untuk direalisasikan sekaligus menyemarakkan persilangan budaya antara 2 negara,” ujarnya lagi sempena dengan Majlis MoU antara UTeM dan Universiti Peking yang berlangsung di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.
Mengulas lanjut Massila berkata, UTeM sentiasa proaktif dan agresif dalam aspek pemerkasaan antarabangsa seiringan dengan inisiatif ni menyokong hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024 pada landasan dan fokus keempat iaitu Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi.
Universiti Peking merupakan universiti terbaik di China yang berada pada kedudukan kedua di negara berkenaan manakala berada pada kedudukan ke 14 terbaik di dunia merujuk sumber daripada Times Higher Education.
Pihak Universiti Peking dihadiri oleh Dekan Sekolah Sains Bahan dan kejuruteraan, Profesor Ruqiang Zou, Timbalan Dekan Sekolah Pengajian Siswazah, Profesor Yinguo Xiao dan Pengarah Pejabat Antarabangsa, Profesor Xiaoxu Zhao.
UTeM pula turut dihadiri oleh Dekan Sekolah Pengajian Siswazah, Profesor Dr Mohd Rizal Salleh, Dekan Fakulti Teknologi dan kejuruteraan Elektronik dan Komputer, Profesor Madya Dr Masrullizam Mat Ibrahim dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGlobe), Hazman Hasib.