Usahawan Muda Teknikal Alumni UTeM Terima Anugerah Alumni Muda Harapan KPT
Kecemerlangan dan dedikasi tinggi seorang alumni muda dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melonjakkan Ahmad Nawawi Amin sebagai penerima Anugerah Alumni Muda Harapan sempena Malam Alumni Universiti Awam 2024 (MAL'24) yang berlangsung baru-baru ini.
Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir kepada beliau sebagai satu penghargaan besar atas sumbangan signifikan beliau kepada universiti dan masyarakat.
Ahmad Nawawi yang merupakan graduan Sarjana Sains Kejuruteraan Pembuatan UTeM ketika ditemubual melahirkan rasa kesyukuran dan kegembiraan atas pencapaian ini.
Beliau juga merupakan penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen UTeM Ke-13, tahun 2017 lalu sewaktu menamatkan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Automotif (Teknologi Automotif) dengan kepujian.
Katanya, UTeM yang merupakan Universiti TVET terbaik di Malaysia merupakan medan saya menimba banyak ilmu termasuklah aspek kepimpinan teknikal semasa bergelar pemimpin mahasiswa dulu dan ia memberi inspirasi kepada saya untuk menyumbang kembali setelah bergelar alumni.
“Saya gembira dapat menyumbang kembali kepada universiti terutamanya menerusi kelab persatuan mahasiswa samada dalam bentuk penglibatan langsung, kewangan dan idea.
“Pada masa yang sama diharapkan ia menjadi suntikan budaya kepada mahasiswa sekarang untuk menyumbang kembali apabila mereka bergelar alumni,” ujarnya.
Mengulas tentang bidang keusahawanan yang diceburi, beliau menyatakan keunikan implementasi inovasi dalam perniagaannya telah menjadi salah satu faktor nilai tambah kepada penganugerahan Alumni Muda Harapan ini.
“Saya mengaplikasi ilmu kejuruteraan yang dipelajari di universiti dengan merekabentuk inovasi ketuhar tempayan bagi tujuan pembakaran daging burger yang juga merupakan acuan resepi sendiri,” ujarnya yang kini giat membina jenama Ramalong Burger Tempayan di negeri Melaka.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila menyatakan kejayaan Ahamd Nawawi sebagai penerima Anugerah Alumni Muda Harapan menjadi suntikan motivasi buat alumni-alumni UTeM yang lain.
"Kejayaan ini turut membawa naratif kejayaan UTeM dalam melahirkan produk yang cemerlang berterusan kerana semasa bergelar mahasiswa beliau merupakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTeM kini menyambung legasi kecemerlangan sebagai alumni.
“Lebih menarik lagi, Nawawi merupakan antara alumni termuda yang berjaya menerima anugerah ini berbanding penerima-penerima anugerah lain yang lebih berpengalaman dan berusia.
“Walaupun belum mencapai 10 tahun sebagai alumni, dedikasi beliau kepada universiti amatlah luar biasa dan mengimbau sepanjang menjawat jawatan Exco dan Naib Presiden Persatuan Alumni UTeM, Nawawi turut mencurahkan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap pembangunan alma maternya dengan menjayakan lebih daripada 20 program alumni bersama universiti,” ujarnya.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif menambah, bergelar usahawan TVET tidak membataskan peranannya dalam persatuan alumni, beliau juga aktif menyumbangkan dana untuk aktiviti-aktiviti pelajar di UTeM di samping sering menjadi moderator, fasilitator, dan panel bagi program-program perkongsian bersama mahasiswa dan semuanya dilakukan tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Katanya, sumbangan beliau yang tidak ternilai ini telah menjadikannya seorang alumni yang bukan sahaja disegani, tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi muda selain turut membuktikan bahawa tidak perlu menunggu bergelar ‘jutawan’ atau berpangkat tinggi untuk kembali menyumbang kepada alma mater.