Skip to main content
03 April 2024

Kebajikan Diutamakan: UTeM Terus Cakna TUAH dan TEJA UTeM

(*TUAH merupakan panggilan kepada Mahasiswa manakala Teja pula adalah panggilan untuk mahasiswi UTeM)

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memberi keutamaan bagi setiap perincian agenda yang memberikan impak langsung berkaitan kebajikan pelajar agar terus dapat menikmati proses pembelajaran kondusif sepanjang tempoh pengajian di sini.

Terbaharu, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir meluangkan masa bersama warga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam Majlis Berbuka Puasa Perdana, Menteri Pendidikan Tinggi bersama keluarga UTeM.

Majlis berkenaan berlangsung di Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, semalam.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, antara pengisian program berteraskan impak buat para pelajar ini ialah serahan 9 buah bas baharu UTeM konsep sewa pandu oleh UTeM bagi menggantikan penggunaan bas sedia ada yang telah berusia lebih 20 tahun.

Ujarnya, dengan sewaan 9 buah bas ini UTeM dapat memastikan keperluan pelajar sentiasa di dahulukan walaupun perkhidmatan pengangkutan bas diberikan secara percuma kepada pelajar kami tetap mengutamakan keselesaan dan keselamatan penggunanya.

Katanya, perkhidmatan bas UTeM kepada para pelajar bukan sahaja untuk pengangkutan bagi aktiviti di luar kampus sahaja malahan turut memperkasakan perkhidmatan bas henti-henti dalam kampus serta antara kampus sepanjang semester berlangsung.

“Turut disampaikan penyerahan surat tawaran biasiswa kepada pelajar UTeM menerusi Program SULUNG berjumlah RM 1,217,852.00 kepada 133 orang pelajar sarjana muda dan Program Anak Emas dengan RM 99,700.00 untuk 4 orang pelajar sarjana muda dan 2 pelajar diploma.

“Sementara itu, UTeM turut menaja Biasiswa Kesidang berjumlah RM500,000 yang memberi manfaat buat seramai 163 orang penerima yang layak dalam kalangan pelajar ijazah tinggi dan seramai 82 orang penerima pascasiswazah telah berjaya setakat ini yang terdiri daripada 29 orang pelajar PhD, 33 orang pelajar sarjana mod penyelidikan dan 20 orang selebihnya dari sarjana mod kerja kursus,” ujarnya.

Pada majlis yang sama turut diadakan serahan sumbangan sumbangan zakat sejumlah RM 1,767,325.00 yang memberikan manfaat buat seramai 70 orang pelajar sarjana muda dan 30 orang pelajar diploma.

Massila berkata, pihak UTeM turut menyampaikan sumbangan 9 komputer riba dengan amaun RM 22,500.00 kepada pelajar terpilih dan turut menyampaikan sumbangan zakat dan duit raya kepada pelajar Tahfiz TVET seramai 12 orang dan 88 orang pelajar dari kalangan pelajar B40.

Turut diadakan Pelancaran Foodbank Gerobok T-Rezeki berjumlah RM 100,000.00 dan ini memberikan kemudahan kepada pelajar yang memerlukan yang ditempatkan di 6 fakulti, 1 di Kampus Teknologi dan 1 lagi di Pusat Persatuan Pelajar.

Menteri Pendidikan Tinggi turut mengambil peluang ini menunaikan solat fardhu maghrib dan isyak seterusnya solat terawih secara berjemaah bersama dengan lebih 2,000 orang pelajar dan warga kerja UTeM yang hadir memeriahkan majlis ini.

Sebelumnya beliau bersama-sama berbuka puasa secara santai menikmati hidangan nasi talam yang menjadi konsep hidangan pilihan UTeM sepanjang bulan Ramadan ini sesambil beramah mesra dengan sebahagian pelajar UTeM.

Pada majlis dan lawatan beliau ke UTeM ini beliau turut bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM300 ribu kepada UTeM bagi menyemarakkan lagi agenda pemerkasaan mahasiswa di sini.

Peruntukan tersebut merangkumi RM100,000 untuk kegunaan Pusat Pelajar, manakala RM200,000 lagi untuk memperkasakan Sasana Niaga yang selama ini berperanan sebagai hab keusahawanan mahasiswa UTeM.

Turut hadir ke majlis ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) P&P, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mohamad Azhan Md Amir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UTeM, Dato’ Dr Husaini Omar.