Skip to main content
06 November 2023

Prof Datuk Ts Dr Massila dinobat Tokoh Akademik UTeM 2022

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Universiti bagi tahun 2022.

Penganugerahan itu sekali gus melayakkan beliau menerima sebuah trofi, sijil dan wang tunai sebanya RM 8,000.00.

Anugerah utama sempena Anugerah Akademik Universiti (AAU) UTeM 2022 itu disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal, baru-baru ini.

Beliau merupakan seorang penyelidik aktif di samping pernah mengetuai kumpulan penyelidik produktif dalam penyelidikan inovasi berimpak tinggi yang telah berjaya meraih pingat emas, pengkomersialan produk dan keusahawanan dengan pelbagai dana dari dalam dan luar negara di samping turut menjana banyak pendapatan kepada universiti melalui aktiviti perundingan.

Sehingga tahun 2022, beliau telah meraih 11 anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta mendapat 52 sanjungan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa kerana sering dijemput sebagai Keynote dan Invited speaker.

Dalam aspek kepimpinan dan pengurusan dinamik yang efektif pula, sentuhan beliau menerusi Pelan Strategik UTeM 2023 – 2025 telah berjaya menjajar universiti untuk melonjak ke hadapan dalam masa yang singkat bersaing hebat di dalam dan luar negara dan seterusnya meletakkan visibility UTeM dalam senarai QS World Rankings tahun 2023.

Terkenal sebagai srikandi agenda TVET Wanita negara dan merupakan pencetus kepada Program TVET Wanita (JELITA) dan pada masa yang sama beliau turut berjaya merapatkan hubungan UTeM dengan Kerajaan Negeri Melaka menerusi pelbagai usaha termasuk cetusan idea sehingga penubuhan Pusat Kolaborasi RICE

Pada masa yang sama beliau turut menerima Anugerah Penerbitan Buku Bidang Sains dan Teknologi dalam majlis AAU ini.

Majlis AAU 2022 ini dilangsungkan bersekali dengan Majlis Makan Malam Konvokesyen ke 19 UTeM yang diadakan semalam bertempat di Courtyard By Marriot Hotel, Melaka.

Majlis ini dijayakan oleh barisan urus setia yang dipengerusikan secara bersama oleh Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Sanusi Azmi, Pengarah Pusat Kecemerlangan dan Kesarjanaan Akademik (CAES) , Profesor Madya Dr. Mohd Shakir Md Saat dan juga mantan Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat dan Perhubungan Canselori, Datin Wira Ts. Nurazlina Md Sanusi.

Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim, Majlis AAU UTeM tahun 2022 merupakan pengiktirafan istimewa untuk ahli akademik UTeM merangkumi pelbagai aspek kecemerlangan termasuk pengajaran, penyelidikan, penulisan dan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Majlis AAU telah menjadi satu tradisi sejak tahun 2009 dan telah menjadi dorongan penting kepada staf akademik untuk terus meningkatkan pencapaian dan sumbangan mereka dalam dunia akademik.

“Sebanyak 13 kategori anugerah telah disediakan yang mana pemilihan pemenang adalah berdasarkan kepada penilaian yang telah dibuat oleh panel jawatankuasa penilai AAU yang dilantik.

“Penerima utama bagi setiap kategori menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan wang bernilai RM4,000. Manakala bagi penerima saguhati akan menerima sijil penghargaan dan wang bernilai RM500,” ujarnya lagi.

Antara penerima AAU UTeM tahun 2022 adalah Ts Dr Hazriq Izzuan Jaafar (Anugerah Akademik Harapan), Dr Rahifa Ranom (Anugerah Pengajaran), Ir Ts Dr Anuar Mohamed Kassim (Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk), Dr Najiyah Safwa Khashi’ie (Anugerah Penghasilan Makalah Jurnal).

Sementara itu, Dr Ridhwan Jumaidin (Anugerah Kualiti Makalah Jurnal), Prof Madya Dr Mohd Shahrieel Mohd Aras (Anugerah Khas Kumpulan), kumpulan produk Rehabilitiation Engineering and Assistive Technology- REAT (Anugerah Khas Kumpulan Penyelidikan) dan Dr Mohd Nazmin Maslan-ketua (Anugerah Khas Kumpulan Komuniti).

Selain itu bagi Anugerah Penyampaian Pengajaran Inovatif bagi kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Ts Dr Farah Nadia Azman) dan kategori Inovasi PDP TVET (Ir Ts Dr Lailatul Harina Paijan) manakala Anugerah Penjanaan Pendapatan bagi kategori individu (Prof Madya Ts Dr Suriati Akmal) dan kategori Pusat tanggungjawab (Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi).