
UTeM Sediakan 7 Inisiaitif Berimpak Bantuan dan Cakna Sepanjang Tempoh Pengajian Pelajar B40
MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyediakan 7 inisiatif berimpak bantuan dan cakna sepanjang tempoh pengajian buat pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari keluarga kumpulan B40 yang menyambung pengajian di peringkat Diploma di institusi ini.
Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pihak universiti terus proaktif menyediakan inisiatif, peluang terbaik serta kemudahan kepada pelajar B40 yang berkelayakan untuk belajar di universiti ini.
Katanya, antara inisiatif yang ditawarkan adalah program Anak Emas yang mana tajaan pengajian dan wang saku pelajar membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM90,324.00 yang telah disalurkan melalui Yayasan Canselor.
Ujarnya, program Anak Emas tersebut merupakan agenda yang julung kali dijayakan oleh UTeM bermula tahun lalu dan menariknya pengajian pelajar tersebut ditanggung sepenuhnya.
“Selaku universiti yang menerajui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi negara maka UTeM turut menyediakan Bantuan Pengajian TVET sepanjang tempoh pengajian kepada yang memenuhi syarat kelayakan.
“Bukan itu sahaja, UTeM terus berusaha meletakkan kebajikan pelajar sebagai agenda utama khususnya golongan B40 melalui bantuan zakat, sumbangan dari agensi korporat,” ujarnya lagi.
Dr Massila berkata, bagi memastikan keselesaan berterusan dinikmati pelajar B40 dalam meniti hari-hari pengajian di sini maka 4 inisiatif lagi tentunya menjadi elemen pemudahcara kelangsungan kehidupan buat mereka di kampus.
“Antara inisiatif terbabit adalah program Menu Siswa Rahmah yang mana mendatangkan manfaat yang besar bukan sahaja kepada mahasiswa terutama B40 malahan bermanfaat buat seluruh warga UTeM dan pihak luar UTeM turut dapat menikmatinya.
“Seterusnya, kami turut menyediakan bantuan TUAH Care Food@Campus yang berupa bantuan makanan kepada pelajar yang memberi manfaat kepada lebih 1,500 pelajar dengan peruntukan lebih RM150,000.00 sebulan.
“Pada masa yang sama UTeM terus komited cakna kebajikan pelajarnya menerusi pelaksanaan program Food Bank yang mana kami mengagihkan makanan Food Bank kepada para pelajar yang memerlukan,” katanya lagi dalam kenyataan media yang diberikan di pejabatnya di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, menyentuh aspek meringankan kesulitan kewangan pelajar, Massila berkata, UTeM turut menyediakan alternatif bantuan Pinjaman Jangka Pendek (PJP) dengan amaun sebanyak RM 500.00 kepada yang memerlukan.