Skip to main content
26 May 2023

Lebih 5,000 Pencari kerja dan pelajar dijangka banjiri Karnival Kerjaya Anjuran UTeM Pada 30 & 31 Mei 2023

Seramai lebih 5,000 orang pencari kerja dan pelajar dijangka membanjiri Karnival Kerjaya National Aspire Career Fair UTeM X MyFuturejobs 2023 (NATIONAL ASPIRE’23) anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

NATIONAL ASPIRE’23 yang julung-julung kali diadakan ini akan berlangsung selama 2 hari pada 30 hingga 31 Mei 2023 bertempat di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

ASPIRE 23 merupakan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UTeM dan Pusat Pengurusan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan (PPAKG), Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTeM.

Dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Centre For Enterprise and Technopreneurship Development (CREATE) bersempena National Training Week Human Resource Development Corporation (HRD Corp).

Pengarah Program yang merupakan ahli MPP dan juga pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Nurul Ain Sabirah Abd Rahim berkata, antara objektif program adalah bertujuan untuk membolehkan para graduan untuk mendapatkan pekerjaan.

Jelasnya, terdapat pelbagai pilihan peluang pekerjaan yang ditawarkan untuk mereka dapatkan kerja yang sesuai kerana tentunya mereka tercari-cari pekerjaan yang selari dengan bidang pengajian mereka.

“NATIONAL ASPIRE’23 ini juga turut menjadi medan bagi membantu para pelajar untuk mendapatkan penempatan latihan industri dalam bidang yang berkaitan, ujarnya lagi dalam kenyataan yang diberikan.

Pengarah PPAKG UTeM, Dr Hazli Rafis Abdul Rahim berkata, sebanyak lebih 41 syarikat, industri dan agensi tempatan serta multinasional menyertai NATIONAL ASPIRE’23 ini dengan menawarkan ribuan peluang pekerjaan.

“Syarikat dan industri yang terlibat ini merangkumi pelbagai bidang termasuklah kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi, pengurusan dan lain-lain yang berkaitan.

Sementara itu Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin mengalu-alukan para pencari kerja dan pelajar untuk datang beramai-ramai bagi mendapatkan manfaat dan kerjaya di NATIONAL ASPIRE’23 ini.

Katanya, seluruh graduan dan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari kalangan universiti, Politeknik, Kolej Komuniti dan orang ramai dijemput ke Kampus Induk UTeM.

“UTeM selaku penganjur utama sentiasa prihatin, cakna dan terus proaktif dalam membantu menyediakan platform yang memudahkan golongan pelajar dan pencari kerja,” katanya lagi.

Program NATIONAL ASPIRE’23 ini dijangka akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada satu sesi yang akan diadakan pada hari pertama penganjuran.