Skip to main content
13 April 2023

Kunjungan Duta Besar Turkiye ke UTeM Perkukuh Kolaborasi Strategik

MELAKA – Kunjungan Duta Besar Turkiye di Malaysia, Tuan Yang Terutama Emir Salim Yuksel ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) perkukuhkan kolaborasi strategik antara universiti ini dan institusi pendidikan Turkiye.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin Massila berkata, kunjungan Duta Besar Turkiye merupakan penghormatan besar buat UTeM yang terus memperkasakan jalinan pengantarabangsaan secara meluas dan komprehensif.

Ujarnya, selari dengan aspirasi Kementerian Pengjian Tinggi (KPT) yang mengharapkan universiti awam terus memantapkan jaringan kolaborasi strategik dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.

Jelasnya, antara pengisian utama kunjungan rasmi tersebut adalah berkisar tumpuan usaha jalinan kerjasama strategik dalam konteks bahasa, kebudayaan dan mobiliti pelajar.

Katanya, secara fokusnya pula Pusat Kebudayaan Turkiye (Kuala Lumpur) bakal mengikat kerjasama dengan Pusat Bahasa UTeM dalam usaha untuk mempelbagaikan lagi bahasa ketiga di sini.

“Usaha ini adalah seiringan dengan hasrat penguasaan kepelbagaian bahasa dunia termasuklah Bahasa Turkiye dalam kalangan pelajar di universiti ini selari dengan aspirasi 2 negara Malaysia dan Turkiye.

“Kemungkinan besar Bahasa Turkiye akan menjadi keperluan untuk para pelajar yang berminat mengikuti program mobiliti ke Turkiye,” katanya sewaktu memberikan kenyataan di pejabatnya di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

Sementara itu, Emir Salim Yuksel amat menghargai kerjasama hubungan strategik yang akan terjalin antara UTeM dan Turkiye dan beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap kemajuan dan kecemerlangan UTeM di samping memiliki fasiliti moden serta persekitaran kondusif.

Sehubungan itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk membantu mempromosikan program-program akademik yang ditawarkan oleh UTeM di Turkiye melalui Pejabat Kedutaan Besar.

Turut bersama dalam kunjungan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim, Dekan Pusat Bahasa UTeM, Nurlisa Loke Abdullah dan Penyelaras Pusat Antarabangsa UTeM, Dr Aimie Nazmin Azmi.