Skip to main content
21 March 2023

25 Mahasiswa UTeM ditauliahkan Leftenan Muda Pertahanan Awam

Seramai 25 orang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya menerima pentauliahan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam (PA), baru-baru ini.

Pentauliahan tersebut berlangsung di Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali ke-13 (tahun 2022) di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Turut bersama di Majlis pentauliahan ini ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) merangkap Komandan Kor SISPA UTeM, Penolong Persuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam, Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim.

Dr. Zulkifilie berkata, Kor SISPA merupakan salah satu cabang platform pilihan yang tepat buat mahasiswa untuk menjana nilai tambah di samping penguasaan bidang akademik.

Katanya, mereka dilatih dengan penglibatan dalam pelbagai aktiviti termasuklah kesukarelawanan melalui program berbentuk khidmat komuniti, kemasyarakatan, badan beruniform dan sebagainya.

“Sebagai contoh, pihak UTeM telah menggerakkan penglibatan Kor SISPA dalam aktiviti berkaitan pandemik lalu melalui penugasan di bilik gerakan, Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Di samping itu penglibatan mereka turut dirasai bilamana bersama membantu melancarkan proses kemasukan semula pelajar baharu UTeM, baru-baru ini,” Ujarnya dalam kenyataan yang diberikan sempena dengan majlis tersebut.

Tambah Dr Zulkifilie lagi, menerusi ruangan ini UTeM telah berjaya melahirkan seramai 72 orang Leftenan Muda (PA) sejak penubuhan Kor SISPA sejak tahun 2016.

Sementara itu, Pengarah APM Melaka, Kamarulsyah berkata, keterlibatan mahasiswa dalam Kor SISPA menerusi organisasi APM dapat melahirkan modal insan yang terlatih dan berdisiplin.

“Saya turut berbangga dengan pencapaian yang telah dipamerkan oleh Kor SISPA UTeM sepanjang tahun 2022 yang lalu apabila mereka telah menempa banyak kejayaan.

“Antaranya adalah mendapat tempat ke-2 dan ke-3 dalam seminar "1st International Civil Defense Undergraduate Cadet Corps Conference 2022" di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan tempat ke 3 dalam Civil Defense Challenge,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu beliau turut melahirkan rasa gembira dan amat berpuas hati dengan kerjasama hebat antara UTeM dan APM Negeri dengan menjayakan pelbagai program secara bersama.

Pada majlis pentauliahan yang sama, Muhamad Yusof Heiry Yanto Masrupi, 26, graduan tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dianugerahkan Pegawai Kadet Kor SISPA Terbaik UTeM 2022.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Kor SISPA UTeM bagi sesi 2020/2021 dan 2021/2022 pernah menjadi sukarelawan MyVAC (Malaysia Vaccine Support Volunteers).

Mengulas pembabitan beliau dalam Kor Sispa, Muhamamd Yusof berkata, sepanjang saya menyertai Kor SISPA banyak ilmu serta pengalaman yang saya perolehi di samping pembentukan disiplin yang tinggi dan sikap menepati masa.

“Melalui medan Kor SISPA juga saya dapat mengasah kemahiran insaniah serta pengetahuan melalui beberapa kursus yang dijalankan seperti Kursus Asas, First Responder Life Support, Metodologi, Bakal Pegawai dan Pengurusan Pusat Pemindahan.

“Kursus ini memberi nilai tambah kepada saya agar terus menzahirkan semangat kerja dalam pasukan, memupuk nilai jati diri yang tinggi dan cintakan tanahair,” ujarnya lagi.