Skip to main content
03 March 2023

UTeM kongsi kepakaran Fiber Optik kepada Pensyarah Politeknik dan Kolej Komuniti

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkongsi kepakaran bidang Fiber Optik kepada pensyarah dari Politeknik dan Kolej Komuniti dengan menganjurkan Program Pentauliahan Profesional Fiber Optik.

Seramai dua belas orang staf akademik dari Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh negara yang menyertai program ini telah lulus cemerlang dan diraikan.

Ianya menerusi Majlis Penganugerahan Sijil Kompetensi yang berlangsung di Dewan Seminar Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Kampus Induk UTeM, baru-baru ini.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Ir Dr Ghazali Omar dan turut dihadiri Dekan FTMK, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Sanusi Azmi.

Program dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini telah dijalankan selama 3 bulan dari 21 November 2022 sehingga 21 Februari 2023.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM selaku Universiti Teknikal Awam berprestij dalam negara terus menzahirkan peranan berkongsi kepakaran dalam usaha pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Jelasnya, peranan signifikan yang dimainkan UTeM ini menjadi sebahagian daripada elemen utama dalam dalam melahirkan tenaga

pengajar yang terlatih dan profesional buat Politeknik dan Kolej Komuniti dalam negara.

“Impak daripada program sebegini tentunya seiringan dengan aspirasi KPT dalam memastikan tenaga pengajar terus kompeten dan diiktiraf oleh segenap sektor industri dan majikan global.

“Selari itu program ini turut memacu kedinamikan Institusi Pengajian Tinggi Awam dalam penjanaan graduan TVET yang mampan dan menjadi buruan dunia,” ujar beliau dalam kenyataan yang diberikan di pejabatnya di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

Pengarah Program, Ts Dr Norhayati Harum berkata, perkongsian kepakaran dan pengajaran dalam kursus 3 bulan tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh barisan tenaga pakar seramai 10 orang yang merupakan kumpulan pensyarah profesional dari FTMK UTeM.

Katanya, program ini turut dijayakan bersama dengan rakan industri iaitu Significant Technologies Sdn Bhd.

Ujarnya, program ini turut mengkhusus kepada pemantapan kemahiran dan pensijilan professional Fiber Optik termasuk Certified Fiber Optic Technologist (CFOT), Certified Fiber Optics Specialist/Design (CFOS/D) dan Certified Fiber Optics Specialist/Testing (CFOS/T).

“Ianya juga merangkumi Certified Fiber to the Home Specialist (CFOS/H), Certified Fiber Optic Specialist Fiber for Wireless (CFOS/W), Kecekapan Fiber Optik - CA1C, Kecekapan Fiber Optik - CA2C, dan National Institute for Occupational Safety and Health Certification (NIOSH),” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut beliau turut menghargai sokongan penuh daripada kumpulan pensyarah FTMK yang terlibat dalam menjayakan projek ini iaitu Ts Erman Hamid, Ts Dr Mohd Rizuan Baharon, Dr Zurina sa’aya dan Dr Othman Mohd.