Skip to main content
07 February 2023

UTeM Hulur Bantuan Pasca Banjir di Kota Tinggi

Senada dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut sama menjayakan misi bantuan pasca banjir di Kota Tinggi, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pada kali ini UTeM menghulurkan sumbangan bantuan sebanyak 215 pek makanan (Bakul Rahmah UTeM-KPT).

Jelasnya, pihak UTeM menyerahkan kesemua bantuan tersebut secara berpusat di Kolej Komuniti Kota Tinggi untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Ujarnya, ianya adalah untuk mereka dari kawasan seperti Kampung Mawai, Kampung Gembur, Kampung Sayang, Kampung dan kawasan terlibat sekitarnya.

Mengupas berkenaan sumbangan tersebut ianya merupakan hasil daripada sumbangan pelbagai pihak UTeM termasuklah daripada UTeM Holdings Sdn Bhd, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE dan Pusat Islam.

“UTeM selaku Institusi kecemerlangan ilmu dan peneraju TVET negara, berinisiatif tinggi dan berpendirian sentiasa prihatin serta cakna kepada mangsa-mangsa bencana, justeru kami terus menggerakkan misi bantuan ini.

“Telah menjadi sebahagian daripada budaya UTeM yakni sentiasa ingin membantu dan segera menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan yang diberikan sewaktu penyerahan bantuan di Kota Tinggi.

Turut bersama sewaktu menyampaikan bantuan ini adalah Timbalan Naib Canselor HEPA UTeM, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif dan Timbalan Pendaftar Pejabat HEPA UTeM, Akmal Manap.