Skip to main content
28 October 2022

UTeM Akan Bangunkan Pusat Penyelidikan Pembuatan Bateri Berskala Kecil Pertama Dalam Kalangan Universiti Malaysia

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melangkah proaktif selari dengan kepakarannya kini dalam usaha untuk membangunkan Pusat Penyelidikan Pembuatan Bateri Berkala Kecil.

Agenda ini bakal menjadikan UTeM sebagai universiti pertama dalam kalangan universiti-universiti dalam negara yang memiliki Pusat Penyelidikan pembuatan bateri berteknologi tinggi semasa dunia.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, projek membangunkan Pusat Penyelidikan bagi pembuatan bateri berskala kecil ini adalah merupakan antara agenda utama dalam rangka kerjasama dengan The Scientific and Technological Research Council of Türkìye (Tübitak).

Katanya, UTeM dan Tubitak berhasrat merealisasikan kerjasama ini secara perkongsian kepakaran dalam penyelidikan berimpak dunia yang kini mendapat permintaan semasa dunia.

Ujarnya, Projek ini adalah tertumpu kepada penyelidikan gunaan dan pembuatan skala kecil bateri dan robotik untuk pemeriksaan saluran paip gas, kebocoran air serta hakisan paip.

Perkara ini diperincikan sewaktu lawatan pihak UTeM ke Gebze, Turki, baru-baru ini, yang diketuai oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam bersama Naib Canselor UTeM dan turut dihadiri konsul jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir.

Bersama dalam lawatan projek ini adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar, Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori dan Datin Wira Ts Nurazlina Md Sanusi.

Turut bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UTeM Holdings, Datuk Wira Sazali Muhd Din, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah (PPS) UTeM, Ts Dr Suriati Akmal dan Penyelaras Pusat Antarabangsa UTeM, Dr Aimie Nazmin Azmi.

Sambung mengulas Dr Massila berkata, langkah proaktif ini merupakan sebahagian agenda UTeM untuk terus menyerlah dalam penyelidikan dan inovasi dunia khususnya dan memberi kesan langsung pelaburan masuk buat negeri Melaka dan negara.

“Projek ini turut akan menjana impak berangkai secara langsung buat pelajar UTeM kerana mereka turut akan menggunakan peluang ini bagi mendalami teknologi yang melibatkan kejuruteraan tinggi proses pembuatan bateri,” ujarnya lagi