12 September 2022

UTeM Jadi Pilihan Universiti Ternama Australia Untuk Jayakan Mobiliti dan Penyelidikan Bersama

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berpotensi menjadi pilihan bagi universiti-universiti ternama dari Australia bagi menjayakan kerjasama program mobiliti pelajar dan penyelidikan antarabangsa secara bersama.

Ini merupakan antara agenda utama hasil dapatan daripada pengisian perbincangan antara pihak UTeM bersama delegasi ‘Australian Familiarisation Visit’ ke UTeM, baru-baru ini.

Lawatan ini merupakan usaha sama antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dengan Education Malaysia Australia (EMA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan urusetia dari Jawatankuasa Pengarah Antarabangsa (JKPA).

Naib Canselor UTeM Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, antara faktor UTeM menjadi pilihan kerana mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri kerana ianya adalah sebuah Universiti Teknikal berprestij yang kian dikenali di serata dunia.

Jelasnya, antara lain UTeM dilihat berpotensi tinggi berdasarkan daripada rekod jalinan kerjasama yang utuh dengan pelbagai industri tempatan dan multinasional yang sedia terjalin sebelumnya.

Bergambar kenangan sempena dengan ‘Australian Familiarisation Visit’ ke UTeM yang berlangsung baru-baru ini

Katanya lagi, faktor lokasi dan kedudukan strategik UTeM di negeri Melaka Bandaraya Bersejarah yang menjadi tumpuan dari seluruh dunia turut menguatkan lagi pilihan mereka.

Antara wakil dari universiti Australia yang hadir bersama adalah dari University of Western Australia, Swinburne University of Technology, Macquarie University, Curtin University, Western Sydney University, Griffith University dan University of Wollongong.

Perbincangan tersebut turut dihadiri oleh Kaunselor Pendidikan dan Sains, Kedutaan Australia ke Malaysia, Fiona Morris dan Exco Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Datuk

Dr Sabri Mohamad Sharif dan Pengarah Pusat Antarabangsa UTeM, Dr Siti Hajar Sheikh Md Fadzullah.


Copyright © 2022 Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All rights reserved.

Connect With Us: