Skip to main content
26 August 2022

Julang Kemenangan Berganda di SEIP 2022 Serlah Keunggulan Keusahawanan Teknikal Mahasiswa UTeM

Keunggulan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah dalam konteks melahirkan mahasiswa berdaya keusahawanan teknikal tinggi apabila merangkul kejayaan berganda di Structured Entrepreneurial Incubator Program & Pitching Competition (SEIP 2022), baru-baru ini.

SEIP 2022 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merupakan inisiatif program keusahawanan nasional di bawah KPT yang bertujuan membangunkan syarikat pemula (start-up) pelajar berteraskan produk inovasi dan teknologi melalui pelaksanaan inkubator latihan keusahawanan.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, 2 kejayaan berprestij tersebut adalah kejayaan memenangi Anugerah Inovasi Terbaik (kategori perkhidmatan) dan naib juara (pitching competition) di SEIP 2022.

Jelasnya, pencapaian membanggakan itu adalah bukti pelajar kejuruteraan mampu berjaya dalam bidang keusahawanan dan kejayaan tersebut menyerlahkan lagi kemampuan UTeM dalam melahirkan graduan yang holistik serta memiliki atribut keusahawanan.

Katanya lagi, UTeM menghantar 4 buah syarikat inovasi pelajar dengan kerjasama dan sinergi dengan mentor yang terdiri daripada pensyarah UTeM di bawah seliaan Pengarah Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE), Dr. Isma Addi Jumbri dan Penyelaras Program SEIP-UTeM, Dr. Mohd Amin Mohamad.

Dr. Isma Addi berkata, Anugerah Inovasi Terbaik (kategori perkhidmatan) yang dimenangi adalah menerusi projek Smart Baja Using IoT System for Fertigation diwakili oleh pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) Mohd Adzimnuddin Mohd Nor Azami dengan bimbingan pensyarah mentor UTeM, Ir. Dr. Anas Abdul Latif.

Ujarnya, gabungan idea pelajar dan pensyarah mentor UTeM bersama membangunkan syarikat Eureka Technology Solution (ETS) turut terpilih sebagai naib juara bagi keseluruhan pertandingan yang melibatkan inisiatif padanan perniagaan.

“Produk syarikat ETS yang mewakili inkubator UTeM mendapat perhatian KPT serta mempunyai prospek pasaran yang luas kerana menyediakan sistem pemantauan parameter asas pertanian meliputi suhu baja, cahaya matahari, kelembapan udara dan kelembapan tanah secara dalam talian,” ujarnya lagi.

SEIP 2022 melibatkan penyertaan 10 institusi pengajian tinggi terpilih dalam negara dan sebanyak 5 kluster utama inkubator telah diwujudkan iaitu teknologi digital, sains dan teknologi, industri agro, keusahawanan sosial dan industri kreatif.