18 August 2022

STEM STREET Sains Komputer Anjuran UTeM Tarik Perhatian Guru Sekolah Melaka

Program STEM STREET Sains Komputer yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terima sambutan hebat daripada guru bimbingan dan kaunseling serta guru STEM dari seluruh Melaka.

Program STEM STREET bertemakan kerjaya dalam bidang Sains Komputer merupakan anjuran bersama Pejabat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori (PKKPC) serta Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK), UTeM dan Pusat STEM Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ianya telah dirasmikan oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Ts. Dr. Massila Kamalrudin bertempat di Dewan Kuliah Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Kampus Induk UTeM, baru-baru ini.

Dr. Massila berkata, antara objektif program ini adalah meluaskan peranan UTeM menerusi perkongsian kepakaran kepada para guru dalam meningkatkan pengetahuan dan pemahaman berkenaan bidang Sains Komputer serta prospek dan pembangunan kerjaya dalam bidang tersebut.

Jelasnya, UTeM memberi komitmen terhadap usaha kerajaan bagi memperkukuhkan profesion teknikal bertaraf dunia dari peringkat awal pendidikan menerusi pemindahan ilmu kepada para pendidik dalam menggalakkan serta mempersiapkan pelajar sekolah untuk menjadikan STEM sebagai pilihan kerjaya masa depan mereka.

Katanya lagi, pengisian dalam program melibatkan sesi forum oleh pensyarah pakar UTeM dengan tajuk “Perkembangan Bidang Sains Komputer dalam Pendidikan STEM bagi menjamin kebolehpasaran graduan”.

“Selain sesi perkongsian mengenai Badan Profesional, Malaysia Board of Technologists (MBOT), UTeM turut membawakan sesi diskusi berkaitan Success Story oleh alumni dari Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi yang telah bergraduat dan beroleh pekerjaan dalam bidang Sains Komputer,” ujarnya lagi.

Program STEM STREET 2022 di UTeM merupakan siri ketiga jelajah yang menekankan tema Sains Komputer menerusi kepakaran UTeM dalam bidang tersebut

selepas siri terdahulu yang bertemakan Agroteknologi di Universiti Malaysia Perlis dan Kejuruteraan di Universiti Teknologi MARA.

Kerjasama strategik antara UTeM dan Pusat STEM Negara KPM ini adalah sangat bertepatan bagi merealisasikan misi negara untuk melahirkan lebih ramai pakar dan modal insan yang berjaya dalam bidang Sains Komputer khususnya dan keseluruhan STEM umumnya.


Copyright © 2022 Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All rights reserved.

Connect With Us: