19 June 2022

UTeM rangkul 7 pingat emas di ITEX 2022

Kumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya merangkul 7 pingat emas dan 3 pingat perak di 33rd International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2022) di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM mencapai kemenangan secara total 100 peratus apabila semua produk inovasi hasil kumpulan penyelidik itu merangkul 7 pingat emas dan 3 pingat perak yang membanggakan pihak universiti.
 
Katanya, UTeM menetapkan penyertaan dalam pameran itu terdiri daripada kumpulan produk inovasi yang memberikan impak langsung kepada industri dan masyarakat serta komuniti dunia.
 
“Konsep penyertaan UTeM juga mengetengahkan produk yang dapat melonjakkan keupayaan penyelidikan berimpak tinggi di samping memberikan penyelesaian kepada permasalahan semasa di peringkat industri dan komuniti dunia.
 
“Tahniah kepada semua penyelidik UTeM atas pencapaian tersebut dan semoga dengan pengiktirafan ini akan terus menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi UTeM serta memartabatkan nama UTeM di persada kebangsaan dan antarabangsa,” katanya di sini.
 
Tujuh pingat emas yang dimenangi adalah menerusi produk Dynamic Roll Instability Warning Device For Commercial Vehicles diketuai penyelidik Ir. Ts. Dr. Mohamad Hafiz Harun, Bio-Dur Packaging diketuai penyelidik Dr. Ridhwan Jumaidin, Labah Air diketuai penyelidik Ts. Mohd Idain Fahmy Rosley dan Rullzz Precision Cutter diketuai penyelidik Ts. Dr. Syahrul Azwan Sundi @ Suandi.
 
Turut meraih pingat emas, produk Cone Wedge Mechanism Based Electronic Mechanical Brake diketuai penyelidik Ts. Dr. Fauzi Ahmad, Smart Recycle Trash Bin System diketuai penyelidik Ir. Ts. Dr. Anuar Mohamed Kassim dan Smart Moine Aeration System diketuai penyelidik Dr. Mohamad Faizal Baharom.
 
Sementara itu, pingat perak pula telah dimenangi menerusi produk Remote Laboratory System For Online Learning, Ar-Ecoprenuer: Ultra Vires dan Multi-Language Document Reader (Mldr) For Visual Impairment People.

Copyright © 2022 Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All rights reserved.

Connect With Us: