Skip to main content
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi berimpak secara berterusan sekaligus memberi impak kepada pembangunan negara dan global.
 
Terbaru, antara inisiatif bagi merancakkan agenda ini maka diadakan perkongsian kepakaran 2 hala bersama dengan pihak Universiti Malaya (UM) baru -baru ini menerusi lawatan pihak pengurusan UTeM ke UM Kuala Lumpur, baru-baru ini.
 
Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, lawatan ini secara dasarnya telah mencapai pengisian perkongsian bersama antara pihak UTeM dan tenaga pakar UM dalam konteks amalan serta pengurusan penyelidikan dan inovasi.
 
Jelasnya, antara lain turut disentuh berhubung perkongsian idea dalam mencapai kecemerlangan menerusi bidang penyelidikan di samping pengurusan akademik dan pengurusan universiti terutamanya melibatkan para pelajar sewaktu pasca covid-19 yang masih berlarutan. 
 
Tambah beliau lagi, perkongsian bersama juga turut tertumpu dalam konteks perkongsian  pengalaman berkaitan budaya dan amalan pengurusan geran yang dilaksanakan dan impak yang berkaitan.
 
Antara pihak UM yang bersama dalam perbincangan ini adalah Naib Canselor UM, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahim Hashim, Timbalan Naib Canselor ( Penyelidikan dan Inovasi) UM, Prof. Dr. Noorsaadah Abdul Rahman, Penolong Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Shaliza Ibrahim serta barisan pengurusan UM.
 
Turut hadir bagi pihak pengurusan tertinggi UTeM adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr. Zulkifilie Ibrahim, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Madya Ir Dr Md Nazri Othman serta barisan dekan-dekan fakulti dan  ketua Pusat Tanggungjawab UTeM.