Skip to main content
Berteraskan konsep keserakanan dan kesediaan berkongsi kepakaran, Pejabat Naib Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima kunjungan hormat  pihak pengurusan tertinggi Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) baru-baru ini. 
 
Delegasi KUIM diketuai oleh Naib Canselor KUIM Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora bersama barisan pengurusan tertingginya dan disambut oleh Naib Canselor UTeM  Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim.
 
Dr Raha berkata, secara ringkasnya antara pengisian perbincangan sempena kunjungan tersebut adalah membicangkan peluang kerjasama bagi kedua-dua institusi pengajian tinggi yang terletak di negeri Melaka ini.
 
Ujarnya, pertemuan kedua-dua belah pihak ini juga turut menyentuh berkenaan corak kerjasama dalam aspek penyelidikan yang mana UTeM boleh berkongsi kepakaran yang dimiliki di samping beberapa aktiviti kokurikulum dengan penglibatan pelajar kedua-dua institusi pengajian ini.
 
Dalam pertemuan itu juga turut digunakan oleh pihak KUIM dengan memperkenalkan barisan ahli pengurusan tertinggi mereka yang baharu kepada pihak pengurusan UTeM.
 
Mengulas lanjut, UTeM sentiasa berbesar hati dalam menjalinkan kerjasama bersama mana-mana institusi pengajian tinggi, bukan sahaja di Melaka, malahan di di peringkat nasional dan antarabangsa.
 
Turut hadir bagi pihak KUIM adalah Timbalan Naib Canselor, Pengurusan Korporat, Penyelidikan, Inovasi,  Prof. Madya Ts. Dr. Afizan Azman dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Baharom Said manakala pihak UTeM pula adalah Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim dan Timbalan Pendaftar Kanan, Hal Ehwal Pelajar, Zainal Bidin.