Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menghulur bantuan kepada para petugas barisan hadapan, khususnya anggota keselamatan yang bertugas dalam operasi mengawal dan memerangi Pandemik COVID-19 yang kini melanda Malaysia dan dunia.
Justeru itu, dalam memastikan keselamatan anggota keselamatan yang terlibat, baru-baru ini UTeM telah menyumbangkan kira-kira 100 unit Face Shield UTeMShield kepada Pasukan 10 Skuadron RAJD (Para) yang berpengkalan di Kem Terendak Melaka.
Sumbangan UTeMShield tersebut telah berlangsung di Makmal Pembuatan Termaju, Fakulti Kejuruteraan Teknologi Mekanikal dan Pembuatan, Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh pada Sabtu lalu. Sumbangan berupa Corporate Social Responsibility ini disampaikan oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim dan disaksikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Pegawai Pemerintah Pasukan 10 Skuadron RAJD (Para) Kem Terendak Melaka, Mejar Ahmad Farouq Ishak sewaktu menerima sumbangan UTeMShield tersebut berkata,” Pasukan 10 Skuadron RAJD (Para) amat berbesar hati dan berterima kasih diatas keprihatinan UTeM atas sumbangan peralatan UTeMShield ini yang sememangnya amat diperlukan khususnya oleh anggota pasukan yang ditugaskan bersama PDRM sebagai fronliners. Peralatan UTeMShield ini akan dibekalkan di Stesen Dekontaminasi (Decon Station) bagi pelaksanaan tugas-tugas nyah cemar bagi anggota yang bertugas”.
Tambah beliau, UTeMShield yang disumbangkan oleh UTeM amat bermakna dalam memastikan keselamatan anggota yang turut sama dalam usaha Negara memerangi COVID19 akhirnya Berjaya dicapai.
Naib Canselor UTeM, Datuk Dr. Raha ketika ditemui pula berkata bahawa UTeM, sebagai sebuah Universiti Awam yang utama di Melaka, sentiasa prihatin akan usaha pihak-pihak barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam mencegah penularan COVID19 ini. “Kami akan terus menyumbang kepada keperluan peralatan
khusus seperti Face Shield ini mengikut permintaan dan kemampuan pembuatan yang kami miliki. Setakat ini kami telahpun menyumbangkan lebih dari 2,000 unit Face Shield yang kami namakan UTeMShield, termasuk lebih 30 unit kotak intubasi yang telah kami sumbangkan kepada pihak hospital sekitar negeri Melaka.”
Ujarnya lagi, sumbangan hasil kepakaran penyelidik UTeM ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Universiti dalam bersama-sama mengekang risiko jangkitan virus ini. Usaha ini adalah satu permulaan kepada lebih banyak kerjasama strategik UTeM bersama organisasi-organisasi utama di negeri Melaka khususnya dan Negara amnya.