Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membariskan seramai 40 orang ahli kontinjen bersama dalam Perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka, baru-baru ini.
Bertemakan ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’, perarakan sejauh 2.5 kilometer itu dijayakan bersama 93 kontinjen mewakili agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim yang turut bersama dalam majlis tersebut berkata, UTeM sentiasa turut sama dalam program keagamaan sebegini serta menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan dalam membangunkan negara Islam yang hebat.
Jelas beliau, sebagai salah sebuah universiti awam di negeri Melaka kami bersama dalam menjayakan aktiviti sosial yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka sekaligus mengeratkan hubungan silaturrahim universiti dengan masyarakat luar.
Katanya, melalui platform ini turut memberikan peluang serta ruang kepada warga
universiti dalam program keagamaan seperti ini.
Sementara itu Pengarah Program Kontinjen perbarisan UTeM ini, Gafar Othman berkata, dalam perarakan ini kami bergerak dari Stadium Hang Tuah ke Dataran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Bukit Palah.
Katanya, kontinjen UTeM yang terdiri daripada seramai 40 orang kakitangan pentadbiran dan akademik daripada pelbagai gred dan jawatan.
“Kami gembira kerana dapat bersama-sama menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah s.a.w dalam perarakan ini bersama dengan kakitangan dari jabatan lain yang turut serta,” ujarnya lagi.
Peserta terdiri daripada 3,069 kakitangan awam dan swasta, 1,210 ahli pertubuhan dan persatuan serta 821 peserta dari sekolah di seluruh Melaka.
Turut sama dalam program tersebut adalah Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat Tuan Adly Zahary, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat.