Skip to main content

Dengan kecekapan dan keberkesanan pengurusan tenaga maka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mencapai pengiktirafan 2 bintang bagi Energy Management Gold Standard (EMGS).  

Pengiktarafan tersebut telah disampaikan menerusi majlis yang dianjurkan oleh Asean Energy Management Accreditation Scheme (AEMAS) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis ini secara langsung mengiktiraf organisasi yang telah berjaya melaksanakan Sistem Pengurusan Tenaga (SPT) di organisasi masing-masing.

Pencapaian 2 bintang yang terima UTeM ini apabila berjaya melaksanakan SPT dengan baik serta berjaya mengurangkan penggunaan tenaga melebihi 5% daripada penggunaan tenaga sebelumnya.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata,  UTeM telah memulakan SPT sejak tahun 2015 dengan penuh komitmen secara berterusan menerusi Polisi Tenaga UTeM.

Jelasnya, UTeM telah berjaya mengurangkan tenaga sebanyak 13% pada tahun ketiga pelaksanaan SPT ataupun sebanyak RM 2.6 juta (5.1 juta kg CO2e) sepanjang 3 tahun pelaksanaan SPT tersebut.

“Kejayaan ini telah membuktikan komitmen UTeM untuk menggunakan tenaga secara cekap dan menyokong usaha ke arah pemuliharaan alam sekitar dengan menggurangkan emisi karbon,” ujar beliau lagi.

Pada majlis ini UTeM diwakili oleh Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (PNCPPF), Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff menerima anugerah tersebut.

Turut bersama adalah Pengarah Pusat Kelestarian Alam Sekitar (PKA), Prof Madya Juhari Ab Razak, Timbalan Pengarah PKA, Prof Madya Dr Musthafah Md Tahir serta Pengurus Tenaga UTeM, Azhan Abdul Rahman.