Terpancar wajah keriangan 30 orang anak-anak suku Temiar dari Sekolah Kebangsaan Balar, Gua Musang, Kelantan apabila mengikuti lawatan sehari sambil belajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), baru-baru ini.
Para pelajar SK Balar yang diiringi oleh beberapa orang guru pengiring termasuk Guru Besar sekolah tersebut Ab. Hadi Sulaiman mendapat pendedahan daripada pihak UTeM tentang konsep pembelajaran dan budaya kampus di sini.
Menurut Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim sewaktu mengulas lanjut mengenai lawatan tersebut amat berbesar hati di atas kesudian guru Sekolah Kebangsaan Balar tersebut dalam memilih UTeM sebagai medium memperkenalkan pendidikan tinggi kepada para pelajar tersebut.
Ujar beliau lagi, para pelajar yang hadir dilihat amat teruja sewaktu bertemu dengan kakitangan Pejabat Naib Canselor dan Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC)dan menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian di UTeM satu hari nanti.
Delegasi pelajar dan guru Sekolah Kebangsaan Balar turut berkesempatan dalam melawat beberapa lagi lokasi pelancongan utama di Melaka sebagai siri lawatan mereka termasuklah Zoo Melaka, Menara Taming Sari, Taman Buaya dan beberapa tempat lagi.
Guru Besar SK Balar, Ab Hadi Sulaiman menyatakan bahawa pihaknya menganjurkan lawatan ini bagi membawa pelajar-pelajar tersebut ke UTeM dan beberapa buah negeri lain bagi memberikan pendedahan tentang perkembangan semasa yang sedang berlaku kini.
Jelas beliau, walau menghadapi pelabagai kesukaran dan cabaran terutamanya isu logistik dari kawasan pedalaman yang mereka tinggal keluar ke Gua Musang bagi memulakan perjalanan lawatan ini tidak menjadi halangan demi kepentingan anak-anak didik mereka.
Sementara itu, Pengarah PPPC UTeM, Fazidah Ithnin berkata, lawatan tersebut diharap akan menjadi pemangkin semangat kepada mereka untuk terus berusaha untuk melanjutkan pengajian di menara gading.
"Seterusnya diharapakan mereka mencapai kejayaan dalam hidup mereka, kerana mereka juga mempunyai peluang yang sama dengan para pelajar lain dari seluruh negara, ujar beliau lagi.