Seramai lima orang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah terpilih menyertai Program Summer Camp 2019 yang diadakan bertempat di Graduate School of Advanced Technology and Science, Tokushima University, Jepun, baru-baru ini.
Mereka adalah Siti Asiyah Mat dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), Chong Sin E dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Nurul Muslimah Meor Shaari dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan kejuruteraan Komputer (FKEKK) dan Mohd Hafidz Zakaria serta Aizuddin Fahmi Mohd Riduan dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM).
Program tersebut telah berlangsung selama 13 hari yang mana turut disertai oleh 21 orang mahasiswa dari seluruh Asia seperti China, Taiwan, India dan Thailand.
Antara pengisian program tersebut, para pelajar telah mengikuti beberapa siri ceramah yang disampaikan oleh pensyarah terbaik Tokushima University berkaitan topik bidang kejuruteraan yang berkaitan seperti bidang tenaga dan alam sekitar, peranti semikonduktor, nano-selulosa, kejuruteraan geoteknikal gempa bumi dan pengekodan video.
Mereka dibawa melawat beberapa syarikat perindustrian terkemuka di Jepun seperti Otsuka Pharmaceutical Company yang menghasilkan produk makanan dan minuman yang sihat seperti bar tenaga, minuman isotonik, makanan ringan protein, Kilang Shikoku Kakoki yang menghasilkan pembungkusan makanan dan Pusat Teknologi Panasonic Eco (PETEC) di mana mereka telah ditunjukkan bagaimana proses peranti elektronik seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh, dan penghawa dingin sedikit dikitar semula untuk mengikuti panduan Jepun dalam pengurusan sisa.
Pelajar turut tidak ketinggalan melawat salah satu kemudahan penyelidikan radiasi synchrotron terbesar di dunia iaitu Super Photon ring 8 GeV (SPring-8) di mana pelbagai jenis ujian high-end yang berkaitan dengan biologi, geo-sains, arkeologi, dan produk pengguna telah dijalankan.
Mereka turut berpeluang melawat tempat pelancongan popular iaitu Whirlpools Naruto di bawah Jambatan Ōnaruto, serta Istana Himeji yang dikelaskan sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO pertama di Jepun di samping Mount Bizan yang dianggap mercu tanda terkenal di bandar ini, Bentenyama yang merupakan gunung semulajadi rendah di Jepun, Muzium Wilayah Tokushima yang memaparkan pelbagai jenis alam, arkeologi, sejarah, cerita rakyat, dan seni Tokushima serta mengambil bahagian dalam tarian tradisional tempatan yang dipanggil Awa Odori.
Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim dalam ulasan beliau mengenai program tersebut menyatakan bahawa program yang disertai oleh mahasiswa UTeM tersebut adalah bagi memperluaskan pengalaman dalam budaya hidup masyarakat luar dan seterusnya memberi pendedahan kepada pelajar di peringkat antarabangsa.
katanya, para pelajar turut diberi peluang untuk meningkatkan kefahaman mereka mengenai isu dan perspektif antarabangsa berkaitan dengan silang budaya masyarakat di samping meningkatkan kecemerlangan pelajar UTeM agar mereka menjadi graduan yang berwibawa, pencetus ilmu dan pemangkin kesarjanaan yang dihormati serta relevan kepada masyarakat dan negara.