Skip to main content

Seramai 14 orang Pegawai Kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima pentauliahan dengan pangkat Leftenan Muda.

Skuad pertama (Sesi 2016/2017) Kor SISPA UTeM ini merupakan keluaran pertama universiti ini yang ditauliahkan sejak Kor SISPA diperkenalkan sebagai salah satu subjek kokurikulum badan beruniform di UTeM.

 Majlis Pengtauliahan berkenaan melibatkan 758 Kadet Kor SISPA dari 20 universiti awam bertempat di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor dan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Amirudin Shari.

Majlis Pentauliahan Kor SISPA tersebut merupakan kali ke-10 dan berlangsung selama empat hari dengan membawa tema ‘APM Penanda Aras Semangat Kesukarelawan’.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd. Manap berkata, mahasiswa UTeM yang menerima penganugerahan pangkat tersebut telah berjaya menamatkan latihan dan melengkapkan silibus yang telah ditetapkan selama tiga tahun untuk melayakkan mereka dianugerahkan pangkat tersebut.

Ujarnya lagi, kejayaan mahasiswa UTeM yang digelar sebagai TUAH UTeM tersebut amat membanggakan kerana untuk memiliki pangkat sedemikian, memerlukan komitmen yang tinggi dari mereka untuk mengimbangi akademik dan kokurikulum tanpa gagal.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim turut merakamkan ucapkan tahniah kepada 14 orang TUAH UTeM tersebut yang telah menjadi skuad pertama Kor SISPA UTeM sejak ditubuhkan.

Beliau berharap pencapaian ini menjadi pemangkin semangat dan motivasi kepada mahasiswa lain untuk terus komited dalam aktiviti kokurikulum beruniform sebegini sekaligus dapat mencorak diri menjadi mahasiswa yang berdisiplin tinggi.