Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merupakan universiti awam pertama dalam negara ini yang melaksanakan Program Pensijilan Profesional Microsoft Sains Data.
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, pelaksanaan program Pensijilan Profesional Mircosoft Sains Data ini berupaya memberi peluang yang lebih luas kepada para graduan untuk mendapatkan pekerjaan yang bertepatan dengan bidang pengajian masing-masing.
Jelasnya, bidang sains data ini merupakan antara bidang yang menjadi tumpuan utama dan mendapat permintaan tinggi oleh kebanyakan organisasi di dalam mahupun luar negara.
Ujar beliau, ianya juga sangat penting ekoran atas dasar kepentingan pekerjaan saintis data telah dilabelkan sebagai pekerjaan masa hadapan, kerana permintaan kerjaya terhadap profesion bidang ini meningkat dengan drastik dari tahun ke tahun.
“Pihak KPM berharap projek yang telah dilaksanakan atas kerjasama KPM, UTeM, Iverson dan Microsoft Malaysia yang mana UTeM selaku universiti awam pertama mempelopori projek ini terus membuahkan kejayaan berterusan,” ujar beliau sewaktu ucapan perasmian penutup di sini.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Raha Abdul Rahim menyatakan UTeM amat menghargai kepercayaan dan sokongan yang telah diberikan oleh KPM kepada UTeM bagi menjayakan program berimpak dan memenuhi keperluan mendesak bidang sains data kini.
Katanya, UTeM telah mula melaksanakan program ini sejak Julai tahun lalu UTeM dan pada hari ini telah berjaya melahirkan 3 kohort pelajar bidang ini yang berjumlah seramai 234 orang.
“Para peserta adalah terdiri dari kalangan mahasiswa dan mahasiswi dari kalangan enam belas buah universiti awam dari seluruh negara yang mana setiap kohort mengambil masa selama 6 bulan bagi melengkapkan kursus ini di UTeM,” katanya lagi.
Majlis Perasmian Penutup Program Pensijilan Microsoft Profesional Sains Data ini telah diadakan di Dewan UTeM 1, Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh, Melaka pada Sabtu lalu.
Majlis ini telah dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim, Ketua Pegawai Maklumat (CIO) UTeM merangkap Pengurus Projek Mohd Isa Mohd Dom.
Turut hadir adalah Education Director Microsoft Malaysia, Shida Zainal Abidin, Pengarah Urusan Iverson Dr Yap Chee Sing, Ketua Penyelaras Program, Profesor Madya Dr Rizal Saleh serta barisan pengurusan tertinggi UTeM.