Universiti Teknikal malaysia Melaka (UTeM) telah mencatatkan pendaftaran seramai 470 orang pelajar baharu bagi mengikuti pengajian peringkat diploma pengambilan sesi Jun 2018/2019 pada 24 Jun 2019 lalu.
Proses pendaftaran masuk pelajar baharu bagi pengajian diploma UTeM tersebut telah diadakan di Pusat Pengajian Siswazah, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM Profesor Datuk Ts Mohd Razali Muhamad berkata, UTeM terus menjadi pilihan bagi para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi menyambung pengajian di peringkat diploma dalam jurusan kejuruteraan dan teknologi maklumat.
Jelas beliau, seramai 470 orang pelajar ini mendaftar bagi 5 kursus yang ditawarkan oleh UTeM iaitu Diploma Kejuruteraan Elektrik, Diploma kejuruteraan Elektronik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Pembuatan dan Diploma Teknologi Maklumat.
“Bidang diploma kejuruteraan dan teknologi maklumat terus diminati ramai lepasan SPM selain menyambung pengajian di peringkat matrikulasi kerana pengajian kejuruteraan ini terus relevan dan berkebolehpasaran tinggi selepas bergraduat dan mudah untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana muda kelak,” ujar beliau lagi.
Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pengurusan Akademik Pejabat Pendaftar UTeM Misdom Lan berkata, kursus-kursus yang ditawarkan di UTeM terus mendapat sambutan baik dan menunjukkan tren peningkatan permohonan pada setiap tahun.
Ujar beliau, kursus Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Diploma kejuruteraan Mekanikal terus mendapat permohonan dan pendaftaran pelajar paling tinggi di universiti ini.