Perpustakaan Laman Hikmah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengorak langkah maju ke hadapan bagi penyediaan pekhidmatan yang lebih efektif dan efisien lagi apabila secara rasminya telah memulakan Ruang Operasi 24 Jam Perpustakaan Laman Hikmah bertempat di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal berkuatkuasa baru-baru ini.
Ruang operasi 24 jam berkenaan dibuka kepada para mahasiswa UTeM sebagai salah satu langkah untuk bersaing dan menerokai pembaharuan bagi memastikan evolusi perkhidmatan yang dinamik dapat diterjemahkan selari dengan keperluan dan penzahiran Revolusi Industri 4.0.
Menurut Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib dalam ucapan beliau menyatakan bahawa Perpustakaan Laman Hikmah memainkan peranan besar bila menyentuh mengenai budaya keilmuan di UTeM terutamanya sebagai sebagai sebuah pusat keilmuan dan maklumat kepada keseluruhan warga Universiti.
Jelasnya, menjangkau usia18 tahun penubuhan Perpustakaan Laman Hikmah telah menyaksikan Perpustakaan Laman Hikmah telah meneroka dan mengaplikasi pelbagai bentuk inisiatif dan inovasi yang boleh dianggap sebagai usaha penambahbaikan berterusan yang dinamik demi survival sebuah perpustakaan akademik yang cemerlang.
"Perpustakaan Laman Hikmah telah mengalami kemajuan evolusi secara berfasa selari dengan visi dan misi UTeM sendiri yang mana pada tahun 2018 sehingga 2019 telah menyaksikan Perpustakaan Laman Hikmah meraih pelbagai kejayaan antaranya telah terpilih menjadi salah satu destinasi yang dilawati oleh delegasi dari International Federation of Library Associations and Institutions (IFLA) sempena World Library and Information Congress (WLIC) kali ke 84 di Kuala Lumpur," ujar beliau sewaktu majlis perasmian di sini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Maklumat, Mohd Isa Mohd Dom pula mengulas lanjut menyatakan pengoperasian ruang 24 jam tersebut turut membantu UTeM dalam menyokong penyediaan ruang kepada warga UTeM dengan menjadikan Aras 1 Perpustakaan Kampus Induk sebagai ruang 24 jam dan meeting point dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, ianya selari dengan keperluan dan permintaan semasa dalaman kampus apabila siapnya asrama baharu UTeM yang berkapasiti 5,000 orang pelajar pada September 2017 dan bangunan Fakulti Teknologi Kejuruteraan bersebelahan Perpustakaan yang kini dalam proses pembinaan.
Majlis Perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr.Shahrin Sahib bertempat di Ruang Santai, Aras 1, Perpustakaan Laman Hikmah dan turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap, Ketua Pegawai Maklumat UTeM, Mohd Isa Mohd Dom, dekan- dekan fakulti serta Timbalan Ketua Pustakawan Kanan.