Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjuarai Kejohanan Sukan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) bagi Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) 2019. 

Karnival Sukan FTK MTUN 2019 ini merupakan anjuran FTK, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Pagoh, Johor baru-baru ini.

Kejohanan Sukan FTK MTUN ini disertai oleh UTeM, UTHM, Universiti Malaysia Pahang (UMP) serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang melibatkan penyertaan dari kalangan staf dan pelajar.

UTeM telah diwakili oleh Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektrik (FTKEE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).

Menurut Dekan FTKEE UTeM, Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff, FTK UTeM telah berjaya merangkul kejuaraan bagi Kejohanan Sukan FTK MTUN yang julung kali diadakan ini.

Jelasnya, pasukan FTK UTeM telah berjaya mencatatkan kejayaan aksi cemerlang apabila telah berjaya menggondol 7 pingat emas dan 4 perak sekaligus mendahului 3 pasukan FTK yang lain.

Ujarnya, pingat diperoleh menerusi acara bola tampar staf, ping pong campuran staf, ping pong campuran pelajar, bola keranjang pelajar, futsal lelaki staf, futsal lelaki pelajar dan futsal wanita pelajar.

Manakala pingat perak pula menerusi acara bola tampar lelaki pelajar, bola tampar wanita pelajar, bola jaring staf dan bola jaring pelajar.

Menurut Mohd Rahimi, kejohanan sukan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi ukhuwah dan hubungan silatrurrahim antara pelajar dan staf FTK MTUN.  

Katanya, program ini juga telah berjaya memupuk nilai-nilai murni dan semangat perpaduan di samping semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan pelajar-pelajar serta staf di FTK khususnya dan universiti amnya.

Sementara itu Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib melahirkan rasa syukur dan gembira di atas kejayaan pasukan FTK UTeM dan menyambut baik semangat kesukanan dalam kalangan MTUN di negara ini.

“FTK MTUN bukan hanya memberi impak hebat dalam bidang kemajuan teknologi kejuruteraan dan perindustrian di negara kita malahan ianya turut memberikan refleks yang positif dalam arena sukan,” komen beliau lagi.