Skip to main content

Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut mempamerkan kepakaran di peringkat antabangsa menerusi pusingan akhir Singapore Autonomous Underwater Vehicle Challenge 2019 (SAUVC 2019) yang berlangsung di Politeknik Singapura, baru-baru ini.

Program SAUVC yang memasuki tahun ke-6 merupakan anjuran Persatuan Kejuruteraan Lautan Singapura, Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Singapura dan Politeknik Singapura yang mana untuk sesi kali ini, ia merupakan penyertaan kali ketiga UTeM dalam cabaran ini.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof. Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, salah satu dari pasukan Kenderaan Bawah Permukaan Air Autonomi (AUV), AUV Panther dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal telah pun menjalani latihan dengan menyertai pertandingan kenderaan bawah air autonomi peringkat kebangsaan pada Disember tahun lalu di Kolej Yayasan Saad, Melaka, sebagai persiapan dalam menghadapi cabaran di peringkat antarabangsa ini.

Jelasnya, hasil daripada konsep ilmu dan kepakaran yang diperolehi membolehkan mereka mempraktikkan sepenuhnya pengetahuan dalam penghasilan robot ini terutamanya menerusi bidang reka bentuk mekanikal, elektrik, elektronik dan juga perisian komputer.

“Tahniah kepada pasukan UTeM yang terlibat dalam mempamerkan kepakaran dan pengetahuan dalam cabaran ini di peringkat antarabangsa dan boleh diteruskan pada masa yang akan datang untuk memupuk semangat berdaya saing, setiakawan dan nasionalisme dalam kalangan mahasiswa UTeM”, ujar beliau mengakhiri temubual.

Menurut Penyelaras Pasukan UTeM, Dr. Mohd Khairi Mohamed Nor dalam ulasan beliau menyatakan bahawa UTeM telah menghantar sebanyak tiga pasukan AUV yang terdiri daripada 16 orang mahasiswa dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) untuk bertanding di peringkat antarabangsa tersebut.

Katanya, peserta yang terlibat telah membuat persiapan lebih awal dengan membuat kajian dan pelbagai ujian ke atas robot mereka berdasarkan tugasan-tugasan khas yang diberi oleh penganjur.

“Pasukan yang terlibat telah mengubahsuai AUV mereka dengan cara tersendiri, dengan menggunakan teknologi terkini seperti penggunaan pencetak 3-D dan sistem kawalan menggunakan perisian dan pengawal mikro Arduino dan Raspberry Pi sehinggalah kepada penyediaan rekabentuk kerangka, fabrikasi pelampung serta pemasangan sistem elektrik dan elektronik AUV menggunakan bahan-bahan seperti panel komposit, acrylic, plat dan paip pvc kerana sifatnya yang ringan, kukuh dan kalis air”, ujar beliau lagi.

SAUVC 2019 telah memfokuskan kepada kenderaan bawah permukaan air autonomi bila mana mahasiswa sendiri merasai cabaran kejuruteraan sistem AUV berdasarkan tugasan yang diberikan dan meluaskan pengetahuan dan mengaplikasikan kemahiran dalam bidang berkaitan kejuruteraan mekanikal, elektrik dan perisian.