Skip to main content

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib telah diberikan penghormatan apabila dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat

dari Universiti Tokushima sempena dengan majlis konvokesyen universiti berkenaan baru-baru ini.

Dr. Shahrin Sahib dalam ucapan beliau selepas menerima anugerah tersebut menyatakan bahawa penganugerahan ijazah kehormat itu merupakan satu penghormatan besar kepada beliau dan seluruh warga UTeM sebangai hasil pemangkin kerjasama dua hala di antara UTeM dan Universiti Tokushima yang semakin erat bagi beberapa tahun kebelakangan ini.

Ujarnya lagi, penganugerahan ini merupakan sesuatu yang sangat istimewa kerana beliau bukan sahaja hadir membawa nama UTeM, malahan turut membawa dan memperkenalkan Malaysia ke negara Matahari Terbit tersebut terutamanya menerusi bidang pendidikan.

Turut sama hadir mengiringi Dr. Shahrin Sahib dalam menerima penganugerahan tersebut termasuklah isteri beliau, Datin Fadzilah Salim bersama Prof. Madya Dr. Mohd Rizal bin Salleh dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan UTeM.

Menerusi pelbagai kerjasama yang telah berlangsung di antara UTeM dan Universiti Tokushima, UTeM turut telah menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat kepada Presiden Universiti Tokushima, Sumihare Noji pada Konvokesyen UTeM ke 13, bertarikh 20 November 2017 lalu.

Penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat kepada Dr. Shahrin Sahib tersebut telah disempurnakan oleh Presiden Universiti Tokushima, Sumihare Noji bertempat di Universiti Tokushima sempena Majlis Konvokesyen Universiti Tokushima 2019.