Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sentiasa cakna dan terus prihatin dalam aspek menjaga kebajikan pelajar terutamanya kepada golongan yang memerlukan.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib berkata, pihak UTeM sentiasa dan terus konsisten melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menjaga kebajikan pelajar terutama golongan B 40 ini.
Jelasnya, antara inisiatif besar yang dilaksanakan adalah dengan program menyediakan makanan percuma kepada pelajar golongan B 40 di segenap peringkat di sini.
Ujarnya, usaha ini disambut baik oleh kesemua pihak fakulti di sini apabila kesemua fakulti di UTeM telah menyediakan makanan percuma kepada pelajar pada setiap hari perkuliahan termasuklah minggu peperiksaan.
Menurut Dr Shahrin Sahib, usaha atau inisiatif penajaan makanan percuma kepada pelajar di peringkat fakulti ini dipanggil Food Corner yang memudahkan mereka mengambil dan menikmati juadah tersebut.
Beliau berkata, usaha itu bagi memastikan para pelajar mendapatkan makanan mencukupi seterusnya memberi keselesaan mengikuti sesi perkuliahan apatah lagi ketika menduduki peperiksaan.
“Dengan adanya bantuan makanan percuma di UTeM ini maka pelajar-pelajar berkenaan dapat menggunakan wang pinjaman, biasiswa atau zakat yang diterima itu untuk perbelanjaan lain berkaitan kepentingan pembelajaran.
“Dalam masa yang sama UTeM turut menjalankan beberapa strategi lain selain daripada makanan percuma ini demi memastikan kesemua pelajar di sini selesa dan dapat mengikuti pengajian dengan jayanya,” ujar beliau lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, inisiatif tersebut bukan hanya di peringkat fakulti sahaja malahan turut disediakan Food Corner di Masjid Sayyidina Abu Bakar kepada jemaah dalam kalangan pelajar yang memerlukan.