Skip to main content

Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengadakan Simposium Kebangsaan Interaksi Manusia - Komputer (Fusion 2019) bertempat di Dewan Seminar FTMK, Kampus Induk, Durian Tunggal baru-baru ini.

Simposium ini merupakan anjuran bersama dengan sub Kumpulan Penyelidikan Specialists in Special Needs Awareness and Research (SPEAR) bagi Kumpulan Penyelidikan Human Centered Computing – Information Systems Lab (HCC-ISL) dan The ACM SIGCHI Kuala Lumpur Chapter (myHCI-UX).

Program ini telah mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sekitar negeri Melaka, pensyarah, pegawai kerajaan dan penggiat industri.

Menurut Dekan FTMK, Gs. Dr. Othman Mohd berkata, antara objektif simposium adalah bagi membudayakan proses perkongsian ilmu dan mengetengahkan aplikasi teknologi terkini dunia teknologi maklumat serta evolusi interaksi manusia dan komputer (HCI).

Jelasnya, HCI merupakan bidang disiplin ilmu yang mempelajari bagaimana manusia berinteraksi dengan komputer dan kajian tentang fenomena di sekitarnya di mana secara prinsipnya, ia bertujuan untuk menghasilkan sistem atau aplikasi yang 'ramah pengguna' terutamanya di atas kepesatan Internet of Things (IoT) dan Industrial Revolution 4.0 (IR4.0).

Ujar beliau, simposium yang dianjurkan ini juga menjadi platform terbaik bagi para akademik meninjau semula keperluan pengguna masa kini agar menepati perubahan teknologi yang ada sekarang.

"Bidang penyelidikan interaksi manusia komputer dan UTeM bukannya sesuatu yang baru yang mana UTeM sendiri telah lama memberi penekanan kepada pembangunan teknologi hijau, kejuruteraan sistem, interaksi manusia-komputer dan teknologi termaju," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, bidang-bidang tujahan ini telah disokong oleh para penyelidik yang berpengalaman, pusat penyelidikan berfokus, rakan industri dan makmal-makmal penyelidikan yang lengkap di dalam universiti.