Pusat Pengurusan Strategik, Kualiti dan Risiko (PPSKR), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima lawatan penanda aras dari Bahagian Pengurusan Kualiti (BPQ), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.
Pengarah PPSKR UTeM, Profesor Dr Rabiah Ahmad berkata, antara objektif lawatan ini adalah sebagai penanda aras dalam perkongsian amalan dan kepakaran masing-masing.
Jelasnya, menerusi platform ini ianya turut melebarluaskan jaringan staf yang mengendalikan kualiti dan akreditasi akademik peringkat universiti awam.
Menurut Dr Rabiah, kedua-dua pihak juga mengambil peluang ini untuk berkongsi kaedah pengurusan kualiti dan akreditasi dari perspektif pengalaman serta usaha menambah baik proses kerja sedia ada.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara topik yang dikongsi bersama adalah berkaitan struktur dan fungsi PPSKR UTeM serta proses pembangunan program akademik baharu.
“Di samping itu PPSKR UTeM turut berkongsi tentang semakan progam akademik, proses akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atau Badan Profesional serta amalan audit dalaman akademik,” katanya lagi.
Lawatan ini disertai seramai 6 orang staf dari BDQ UPSI dan disambut baik oleh kakitangan PPSKR UTeM di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.