Sukan berbasikal merupakan antara amalan gaya hidup sihat yang menjadi pilihan warga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di samping aktivti sukan lain yang pelbagai mengikut minat dan bakat masing-masing.
Selari dengan itu, baru-baru ini telah diadakan program Kayuhan Santai bersama dengan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTeM Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim di sekitar Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.
Program Kayuhan Santai yang disertai ramai dari kalangan warga UTeM ini telah diketuai oleh Dr Zulkifilie Ibrahim antara lain adalah bertujuan bagi menyemarakkan budaya aktiviti bersukan dan mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan warga UTeM.
Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim berkata, program seperti ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan aktiviti sukan untuk gaya hidup sihat malah turut mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga UTeM.
Jelas beliau, program seumpama ini dijangka akan diteruskan dari semasa ke semasa setelah mendapat maklumbalas yang positif dari kalangan peserta yang telah turut serta menjayakannya.
Di samping mempromosikan gaya hidup sihat menerusi sukan berbasikal, para peserta turut menikmati kehijauan pemandangan flora semulajadi dan menghirup udara segar di sekitar UTeM.